Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang perarakan terima hadiah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Majlis penyampaian hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1440 Hijrah telah diadakan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Tahun ini, johan Kategori Sekolah Menengah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi/Swasta ialah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $4,500, hadiah iringan serta sijil penyertaan.

    Tempat kedua dimenangi oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), tempat keempat Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMRIPAD) dan tempat kelima pula jatuh kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1440 Hijrah, kelmarin.
    Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.

    Kementerian Pembangunan yang menjuarai Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan menerima hadiah wang tunai berjumlah $3,500, hadiah iringan serta sijil penyertaan.

    Kementerian Pendidikan mendapat tempat kedua dan Kementerian Pertahanan (Awam) mendapat tempat ketiga.

    Johan bagi Kategori Persatuan dan Sektor Swasta tahun ini menerima hadiah wang tunai berjumlah $2,000, hadiah iringan serta sijil penyertaan dan tahun ini Persatuan Masyarakat Indonesia muncul juara, Telekom Brunei Berhad mendapat tempat kedua dan Pertubuhan Zaidana mendapat tempat ketiga.

    Kategori Kampung dan Masjid pula membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $3,500, piala iringan serta sijil penyertaan dan juaranya ialah Ukhwah Kejiranan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Kumpulan Belia Masjid Kampung Perpindahan Serasa Muara mendapat tempat kedua dan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad Kampung Setia mendapat tempat ketiga.

    Sementara itu, UNISSA telah berjaya memenangi Hadiah Khas Kategori Sekolah/Arab/Maktab/Institusi Pengajian Tinggi dan Swasta.

    Bagi Kategori Kementerian dan Jabatan Kerajaan, pemenang hadiah khas ialah Jabatan Perdana Menteri, Kategori Persatuan dan Sektor Swasta telah dimenangi oleh Pertubuhan Zaidana dan Kategori Kampung dan Takmir Masjid pula dimenangi oleh Ukhwah Kejiranan RPN Meragang.

    Perhimpunan dan perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi Tahun 1440 Hijrah yang bertemakan ‘Tarbiyah Rasulullah Membawa Rahmat dalam Berkeluarga’ telah berlangsung pada 20 November lalu dan menyaksikan penyertaan 126 pasukan dengan keramaian 13,008 orang untuk jarak perarakan sejauh 2.3 kilometer.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda