Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang pertandingan bahan pembelajaran agama dirai

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Sekolah Ugama (SU) Pusar Ulak muncul johan dalam Pertandingan Mencipta Bahan Pembelajaran Persekolahan Ugama sempena Program An-Najah anjuran Jawatankuasa Pemimpin-pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei I.

    Manakala naib johan dimenangi SU Pengiran Anak Puteri Masna dan SU Mabohai di tempat ketiga.

    Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah petang tadi telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    Program An-Najah merupakan salah satu inisiatif pendidikan bertujuan melahirkan pelajar celik teknologi, kreatif dan berinovasi dalam pembangunan bahan pembelajaran digital.

    Pertandingan ini memberi peluang kepada murid-murid menghasilkan bahan seperti video interaktif, animasi, aplikasi kuiz dan slaid pembentangan, yang bukan sahaja meningkatkan kefahaman tetapi juga menanam nilai kreativiti serta keyakinan diri.

    Hajah Mariana ketika menghadiri acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Dalam ucapannya, Pengerusi JKPSSU Kawasan Brunei I, Haji Amran bin Haji Majid menjelaskan bahawa Program An-Najah adalah salah satu usaha meningkatkan pembangunan akademik dan kualiti peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), selain melahirkan pelajar berperibadi cemerlang.

    Katanya, “Program ini mengambil sempena maksudnya dalam bahasa Arab, ‘An-Najah’, yang membawa erti kejayaan. Ia sejajar dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Lebih daripada itu, program ini juga menekankan pembangunan sahsiah pelajar agar berakhlak mulia, beriman dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.”

    Beliau menambah pertandingan ini juga berperanan sebagai platform untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam menghasilkan bahan pembelajaran agama yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi.

    “Para pelajar diberi peluang untuk mencipta bahan pembelajaran seperti video interaktif, animasi, aplikasi kuiz dan slaid pembentangan yang bukan sahaja menambah kefahaman tetapi juga menanamkan nilai kreativiti serta keyakinan diri. Ini sejajar dengan hala tuju sistem pendidikan abad ke-21, iaitu melahirkan pelajar celik teknologi, inovatif dan mempunyai daya kepimpinan,” jelas beliau.

    Pertandingan dilaksanakan dalam dua peringkat, bermula dengan saringan pada awal bulan Jun lalu yang melibatkan 16 buah sekolah agama Kawasan Brunei I. Daripada jumlah tersebut, tiga sekolah terpilih mara ke peringkat akhir SU Pusar Ulak, SU Pengiran Anak Puteri Masna dan SU Mabohai yang menampilkan persembahan terbaik dari segi grafik, pembentangan dan isi pelajaran.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Haji Amran. Acara diteruskan dengan pertandingan mencipta bahan pembelajaran, tayangan video, pengumuman keputusan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh tetamu kehormat.

    Program ini mendapat sokongan padu melalui penajaan dan komitmen Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) serta Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) sebagai usaha mempromosikan pendidikan dan pembangunan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda