Pemenang Pertandingan Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk ke-4 diumumkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Para pemenang Pertandingan Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan kali ke-4, 2021 telah diumumkan hari ini, pada majlis yang diadakan secara maya anjuran Kementerian Pendidikan melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP).

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman hadir selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Anugerah Overall Champion bagi kategori Formula One Junior Class dirangkul oleh ketiga-tiga pasukan dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, Tutong.

Manakala itu, tempat pertama dimenangi oleh Pasukan Krows yang turut menerima Anugerah Best Engineered Car, tempat kedua dimenangi Pasukan Rampager yang turut menerima Aungerah Best Reaction Time dan tempat ketiga pula disandang oleh Pasukan Nova Dragozz.

Bagi Kategori Formula One Senior Class pula, Pasukan Pahlawan XXI dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah memenangi Anugerah Overall Champion, Anugerah Best Engineered Car dan Anugerah Best Verbal Presentation.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa majlis pengumuman para pemenang pertandingan yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

Pasukan Anemo F1 dari Pusat Tingkatan Enam Meragang pula meraih tempat kedua dan tempat ketiga disandang oleh Pasukan Wira dari UTB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sebanyak 46 buah pasukan dari 26 buah sekolah menengah dan dua buah institusi pengajian tinggi telah menyertai dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Formula One Junior Class untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan Kategori Formula One Senior Class bagi pelajar-pelajar pusat tingkatan enam, teknikal dan vokasional serta institusi pengajian tinggi.

Peserta bersaing dalam menghasilkan kereta mini F1 menggunakan perisian seperti Autodesk Inventors, Computer Aided Design (CAD) dan peralatan Computer Aided Manufacturing (CAM) dengan proses reka bentuk dan seni kreatif.

Pertandingan berkenaan telah bermula pada Januari lalu dengan beberapa perubahan kepada elemen dan format pertandingan serta persiapan-persiapan pihak sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Guru-guru dan pelajar juga diberikan bimbingan oleh Pusat STEP melalui guided participation di sepanjang program ini dilaksanakan.