Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Negara Brunei Darussalam merupakan pautan penting dalam Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 di mana sejak Perjanjian Kerjasama Dua Hala Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dimeterai pada 2017, ia telah berkembang untuk membuahkan banyak hasil.
Ia menyaksikan pelaksanaan projek-projek utama seperti Hengyi Industries dan Pelabuhan Muara di mana ia telah meningkatkan peluang-peluang pekerjaan, mengembangkan rantaian industri serta menyuntik lebih banyak usaha Negara Brunei Darussalam bagi mempelbagaikan ekonomi negara dan mencapai Wawasan Brunei 2035.
Di samping itu, ia juga menyaksikan pelaksanaan program seperti China Day dan Anugerah Duta Republik China yang dianjurkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam bagi membina platform untuk warga Brunei mempelajari dengan lebih mendalam mengenai China dan mempromosikan persahabatan serta persefahaman antara warga kedua-dua buah negara.
Perkara itu dijelaskan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Perasmian Pameran Pertandingan Lukisan Sekolah Rendah Brunei ke-5, BRI, yang berlangsung di Pusat Membeli-belah One City, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.




Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat) di Kementerian Pendidikan, Profesor Dr Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam serta guru-guru dan murid yang menyertai pertandingan itu.
TYT Xiao Jianguo dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan keyakinannya dengan usaha bersama antara kedua-dua belah pihak, kerjasama BRI yang berkualiti tinggi, mampan dan saling bermanfaat kepada penduduk kedua-dua buah negara, ia akan memupuk masa depan yang lebih baik.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah sagu hati kepada 12 orang peserta di mana hadiah disampaikan oleh Profesor Dr Haji Noor Azam bersama Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam, Wang Hai Tao.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian hadiah kepada tiga orang pemenang hadiah pertama dan lima orang pemenang tempat kedua yang disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati. Kemudian diteruskan dengan lapan orang pemenang tempat ketiga yang disempurnakan oleh TYT Xiao Jianguo.
Pemenang-pemenang tempat pertama ialah Dayang Safiyyah Lam binti Muhammad Tommy Fatah dari Sekolah Menengah Chung Hua, Kuala Belait (CHMS KB), Awang Fakhrullah bin Awang Sulaiman dari Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar dan Nikko Liong Ler Yee dari Sekolah Menengah Chung Ching, Seria.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian hadiah utama kepada dua orang pemenang iaitu Syed Khaider Mashhor dan Moi An Qi, kedua-duanya merupakan murid CHMS KB dengan hadiah disampaikan oleh TYT Xiao Jianguo.
Kemudian, majlis diteruskan dengan perasmian pameran lukisan yang disempurnakan bersama oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dan TYT Xiao Jianguo serta diikuti dengan menyaksikan pameran hasil lukisan para peserta dalam pertandingan berkenaan.
Pertandingan lukisan BRI, anjuran bersama oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan, menyaksikan lebih daripada 80 hasil lukisan pelukis muda berbakat dari 16 buah sekolah rendah seluruh negara dipamerkan.
Hasil karya pelukis muda berbakat berkenaan mengetengahkan kerjasama BRI antara China dan Brunei, pemahaman mereka mengenai BRI serta sokongan mereka kepada kerjasama dan persahabatan Brunei-China.

