Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang pertandingan memasak, Program Bootcamp dirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Anugerah bagi Pertandingan Memasak kali ke-4 dan Program Bootcamp kali ke-4 bagi pelajar-pelajar Program Pra-Vokasional dan diselajurkan dengan pelancaran Buku Kurikulum Program Pra-Vokasional (BKPPV 2024) bertempat di Dewan Ruang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan anugerah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Sebanyak lapan sekolah menengah berjaya mara ke peringkat akhir yang diadakan pada 9 November lalu. Dalam pertandingan tersebut, para pelajar dikehendaki menyediakan tiga jenis makanan dan satu jenis minuman iaitu savory (pastry-rubbing method), soft cookies, buko dan jus buah-buahan.

    Pertandingan peringkat akhir telah dihakimi oleh para juri yang terdiri daripada guru-guru kulinari dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan executive sous chef dari Hotel Antarabangsa Rizqun.

    Bagi pertandingan memasak, johan pertandingan dimenangi Sekolah Menengah (SM) Masin, Kluster 4; diikuti SM Awang Semaun, Kluster 1 di tempat kedua; dan SM Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Kluster 6 di tempat ketiga.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar bersama para peserta yang memenangi pertandingan memasak kali ke-4 berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sementara itu, Awang Muhd Irfan Muhtadi bin Rudy Effendi dari SM Rimba, Kluster 3 meraih anugerah Best Performing Student pada pertandingan itu.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian tiga anugerah berupa sijil pengiktirafan dan hadiah sagu hati kepada tiga buah sekolah terbaik dalam penghasilan produk dalam Program Bootcamp ke-4, iaitu Anugerah Most Innovative dimenangi SM Perdana Wazir, Kluster 6; Anugerah Most Creative diberikan kepada SM Sayyidina Abu Bakar, Kluster 3; dan SM Lambak Kiri, Kluster 3 penerima Anugerah Most Passionate.

    Program yang dikendalikan Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC), Kementerian Pendidikan itu telah disertai oleh 12 buah sekolah menengah bagi Program Pra-Vokasional dan enam buah sekolah rendah bagi Program Pendidikan Khas pada tahun ini.

    Program Bootcamp itu bertujuan mendedahkan para pelajar dengan corak minda keusahawanan, kemahiran dan pendidikan keusahawanan serta inovasi. Di samping itu, para pelajar juga berpeluang menunjukkan kebolehan, kreativiti, inovatif serta bakat mereka dalam menghasilkan produk-produk yang terbaik.

    Acara diteruskan dengan sesi pelancaran BKPPV 2024. Buku tersebut bertujuan membantu guru-guru pendidikan khas dalam melaksanakan Program Pra-Vokasional. Penerbitannya juga selaras dengan Matlamat Strategik Kementerian Pendidikan dan Matlamat Pembangunan Mampan ke-4 (SDG 4) UNESCO, yang mengutamakan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.

    Acara juga diserikan dengan pameran dan jualan produk yang dihasilkan oleh para pelajar yang menyertai pertandingan Program Bootcamp.

    Turut hadir ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, para pemimpin sekolah, guru dan pelajar serta agensi-agensi yang berkepentingan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda