Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang pertandingan seni khat Hari Guru diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Para pemenang Pertandingan Seni Khat Peringkat Kebangsaan 1445H/2023M anjuran Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) sempena Sambutan Hari Guru ke-33 tahun 2023 telah menerima hadiah masing-masing, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Ma’rifah, PPKKI-YSHHB itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Lembaga Tadbir PPKKI-YSHHB.

    Diadakan untuk menarik minat guru-guru bagi mempelajari kaedah seni khat dengan teknik yang betul dan secara tidak langsung akan dapat membimbing dan mengajarkan kepada anak murid mereka, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori
    Terbuka dan Kategori Pendidik.

    Juara bagi Kategori Terbuka ialah Awang Alomsa Nor Adzmin bin Haji Ali Omar yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak $2,000, tempat kedua dimenangi oleh Awang Muhammad Riziman bin Haji Usin yang membawa pulang hadiah $1,500 dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Muhammad Azizi bin Haji Mohd Jamil yang membawa pulang $1,000.

    Bagi Kategori Pendidik (Lelaki), tempat pertama dimenangi oleh Haji Mohd Fajri bin Haji Idris diikuti oleh Awang Muhammad Riziman bin Haji Usin di tempat kedua dan Awang Muhammad Azizi bin Haji Mohd Jamil di tempat ketiga.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Terbuka Pertandingan Seni Khat Peringkat Kebangsaan 1445H/2023M. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH: Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan hadiah kepada juara Kategori Pendidik lelaki dan perempuan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Manakala itu, bagi Kategori Pendidik (Perempuan), tempat pertama dimenangi oleh Dayang Siti Norajimah binti Haji Hamdani, tempat kedua Dayang Norhanisah binti Haji Abdul Rani dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Vivie Yanty binti Abdullah.

    Juara Kategori Pendidik memenangi wang tunai $500, tempat kedua $400 dan tempat ketiga $300.

    Pada tahun ini, pertandingan dibukakan kepada orang ramai terutama guru-guru yang berminat dalam kesenian kaligrafi dari sekolah-sekolah kerajaan, sekolah swasta termasuk institusi pengajian tinggi dan universiti.

    Bagi Kategori Terbuka yang berkonsepkan karya siap, seramai 10 orang sahaja yang ikut serta dan diadakan bermula 10 Oktober hingga 30 November lalu.

    Kategori Pendidik yang berkonsepkan karya spontan pula disertai oleh 23 orang iaitu 14 peserta lelaki dan sembilan peserta perempuan. Kategori ini telah diadakan di Dewan Ma’rifah, PPKKI-YSHHB selama tiga hari pada 23 hingga 25 November lalu.

    Objektifnya adalah untuk mengenal pasti dan mengetengahkan individu-individu tempatan yang mempunyai bakat dalam penulisan khat melalui acara pertandingan kebangsaan mahupun luar negara dan seterusnya melahirkan masyarakat Islam di negara ini yang dapat menguasai ilmu seni Islam.

    Di samping itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan kualiti masyarakat Islam di negara ini terhadap penguasaan seni Islam dalam pelbagai aspek dan mampu menguasai dan menghayati nilai-nilai seni Islam khususnya seni khat, dan mendalami pemikiran dan pendekatan dalam seni khat melalui sejarah penulisan Islam.

    Pertandingan juga selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda