Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang pertandingan video pendek terima hadiah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Program Minggu BEST (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) merupakan inisiatif berterusan Kementerian Pendidikan dalam usaha membendung dan mencegah gejala buli terutamanya buli siber agar tidak berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah.

    Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Program Minggu BEST Kementerian Pendidikan bagi Tahun 2024 bertempat di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan selaku Pengerusi Bersama Program BEST, Dr Hajah Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah.

    Dr Hajah Nor Zaiham antaranya merakamkan kesyukuran di mana sepanjang Program Minggu BEST ini, pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai bahaya gejala buli siber di kalangan pelajar.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai bersama pada para pemenang semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan mewarna, melukis, dan kuiz di kalangan murid-murid sekolah rendah. Selain itu, sekolah menengah, maktab, dan PTE juga telah mengadakan aktiviti berkaitan, seperti rekaan infografik anti-buli, kajian mengenai gejala buli siber, aktiviti Expressive Art Therapy, pembentangan tentang buli siber, dan pelbagai aktiviti lain mengikut kreativiti sekolah masing-masing.

    Majlis diteruskan dengan tayangan video bagi setiap pemenang kategori Pertandingan Video Pendek sempena Program Minggu BEST, yang diselaraskan dengan tema program tahun ini Kesedaran Mengenai Buli Siber.

    Kemuncak majlis tersebut menyaksikan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Video Pendek sempena Program Minggu BEST yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Pertandingan tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sekolah Rendah (SR); Sekolah Menengah (SM) dan Maktab; dan Pusat Tingkatan Enam (PTE).

    Bagi Kategori SR telah dimenangi oleh SR Rataie, SR Benutan dan SR Rimba 2.

    Manakala para pemenang bagi Kategori SM dan Maktab terdiri daripada SM Sayyidina ‘Othman, SM Awang Semaun dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan. Sementara itu PTE Tutong, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan PTE Sengkurong merupakan pemenang bagi Kategori PTE.

    Tetamu kehormat juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kategori SM dan Maktab dari setiap kluster bagi Aktiviti Terbaik Program Minggu BEST yang terdiri daripada Kluster 1 Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah; Kluster 2 SM Sultan Muhammad Jamalul Alam, Kluster 3 SM Lambak Kiri, Kluster 4 SM Katok, Kluster 5 SM Sufri Bolkiah, dan Kluster 6 Maktab Anthony Abell.

    Turut hadir pada majlis ini ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan, pemimpin-pemimpin sekolah dan pelajar-pelajar.

    Program Minggu BEST dianjurkan bersempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan dan Buli di Sekolah Termasuk Buli Siber yang ditetapkan oleh pihak UNESCO yang jatuh pada setiap hari Khamis pertama dalam bulan November setiap tahun.

    Buli siber merupakan satu bentuk buli yang berlaku melalui platform digital seperti media sosial, aplikasi pemesejan dan laman web. Ia juga boleh memberi kesan mendalam terhadap mangsa, termasuk tekanan emosi, gangguan mental dan dalam kes yang lebih serius ia boleh menyebabkan kemurungan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda