Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Pertandingan Pertunjukan Kereta dan Motosikal 2017 yang dikendalikan oleh Andika Samudera Event Management dan disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan merupakan salah satu acara menarik yang dianjurkan bagi memeriahkan lagi Festival Disember Brunei 2017 di mana pertandingan itu diadakan bermula 29 Disember hingga 31 Disember di kawasan letak kereta hadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan.
Sehubungan dengan itu, majlis penyampaian hadiah kepada pemenang bagi pertandingan berkenaan telah diadakan kelmarin, disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.
Pertunjukan Kereta dan Motosikal 2017 yang disertai oleh hampir 100 orang itu, bermatlamat untuk mengumpulkan para penggemar kereta dan motosikal di negara ini serta diharap dapat menarik minat masyarakat supaya dapat menikmati penghujung cuti persekolahan dan berbelanja di negara sendiri yang secara tidak langsung dapat meningkatkan perekonomian usahawan-usahawan tempatan.
