PARIS, 27 MAC – Pemenang Piala Dunia Kelab yang diperluas tahun ini di Amerika Syarikat (AS) akan menerima sehingga $125 juta dalam bentuk hadiah wang tunai, menurut pengumuman FIFA kelmarin.
Jumlah keseluruhan dana hadiah sebanyak $1 bilion untuk kejohanan yang berlangsung dari 14 Jun hingga 13 Julai telah didedahkan sebelum ini, tetapi FIFA kini telah memperincikan jumlah yang akan diterima oleh 32 pasukan yang bertanding.
Setiap pasukan akan berkongsi dana sebanyak $525 juta untuk penyertaan, manakala tambahan $475 juta akan diagihkan berdasarkan prestasi dalam kejohanan.
Dengan bonus tambahan, pasukan yang muncul juara selepas tujuh perlawanan boleh memperoleh sehingga $125 juta.

Kelab-kelab Eropah akan menerima bahagian terbesar daripada hadiah wang tunai, dengan setiap kelab memperoleh antara $12.81 juta hingga $38.19 juta, jumlah tepat akan ditentukan berdasarkan kriteria sukan dan komersial.
Pasukan dari Amerika Selatan akan menerima $15.21 juta sebagai bonus penyertaan, manakala pasukan dari Amerika Utara, Amerika Tengah, Caribbean, Asia dan Afrika akan menerima $9.55 juta setiap satu.
Auckland City, wakil dari Oceania, akan membawa pulang $3.58 juta sebagai ganjaran penyertaan.
“Model pengagihan ini mewakili hadiah wang tunai terbesar yang pernah diberikan kepada kejohanan yang merangkumi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam satu kenyataan media.
“Selain hadiah wang tunai yang diperuntukkan kepada kelab yang bertanding, satu program solidariti yang belum pernah dilakukan sebelum ini akan dilaksanakan dengan matlamat untuk mengagihkan tambahan $250 juta kepada bola sepak di seluruh dunia.”
Infantino turut menyatakan bahawa semua hasil daripada kejohanan ini akan disalurkan kembali kepada bola sepak kelab. – AFP