Monday, March 31, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang pidato bahasa Jepun dirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C) dan Pusat Bahasa Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah bekerjasama mengadakan Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-36 di Teater Kuliah, The Core, UBD, hari ini.

    Pertandingan yang disokong oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan; UBD Corporation itu ditaja oleh Persatuan Jepun Brunei Darussalam dan Yayasan Jepun.

    Pertandingan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu pidato Jepun dan pembentangan berkumpulan bahasa Inggeris tentang Jepun.

    Kategori Pidato Bahasa Jepun (Peringkat Lanjutan) telah dimenangi oleh Wan Mohammad Aidi bin Jufriza dengan tajuk pidato Even if you are not a teacher (profession), you are still a teacher: My Experience di tempat pertama; Awang Muhammad Danish Syazwan bin Sukri dengan pidato berjudul Nasi Katok di tempat kedua; dan Awang Shamil bin Shrain menerima hadiah di tempat ketiga dengan pidato bertajuk Deeply Drawn To.

    Manakala tempat pertama bagi Kategori Pidato Bahasa Jepun (Peringkat Pemula) telah dimenangi oleh Dayang Nurin Aneesah binti Baharin dengan tajuk My Experience in Theater; diikuti dengan pemenang kedua dan ketiga oleh Awangku Abdul Ghafur Ur Rahman bin Pengiran Abdulrahman dan Dayang Siti Damia Syahmina binti Haji Harun.

    Pemenang menerima hadiah semasa Pertandingan Pidato Bahasa Jepun ke-36 berlangsung di Teater Kuliah, The Core, UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Sementara itu, para pemenang bagi kategori pembentangan berkumpulan pula terdiri daripada Awang Muhammad Wazien bin Haji Wahid dan Awang Muhd Ilham Haqiqie bin Abdullah Muhd Kelali dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) dengan tajuk The Impact of Ultraman: Japan’s Superhero Legacy di tempat pertama; dan Dayang Nur Hazeerah Zahidah binti Mohamad Yusof dan Dayang Nor Ameera Aleeya binti Haji Amir Azman dengan tajuk Geisha dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) di tempat kedua.

    Manakala tempat ketiga bagi kategori berkenaan telah dimenangi Awang Amir Muzhafar bin Abdullah Didi Burhan dan Dayang Natasya Zara Amani binti Haji Asrul Rahmani dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dengan tajuk The Cultural Impacts of Japanese Animation a.k.a. Anime.

    Para pemenang menerima sijil dan trofi berserta pelbagai hadiah. Pemenang Kategori Pidato Bahasa Jepun (Peringkat Lanjutan) akan mengadakan lawatan ke Jepun untuk menyertai pembentangan pidato Jepun oleh pemenang-pemenang peraduan pidato Jepun di negara-negara ASEAN, yang dianjurkan oleh Japan Overseas Enterprise Association.

    Antara yang hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka; Pemangku Pengarah L3C, Lim Kian Boon; Timbalan Pengarah Pusat Bahasa UBD, Dr Min Shen; Pengarah Jabatan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Mohamad @ Mohamat; Pensyarah Japan Foundation Kuala Lumpur, Hirata Yuna; Presiden Persatuan Jepun Brunei Darussalam, Okabe Kohji; dan Presiden Brunei Persatuan Alumni Jepun Brunei Darussalam, Hajah Najmina Fairuz binti Haji Abdul Latif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda