Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Para pemenang Program-program Pusat STEP bagi 2024 telah diraikan dan menerima hadiah mereka pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok, hari ini.
Majlis anjuran Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), dihadiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar selaku penaja pertandingan dengan kerjasama Big BWN Project yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah bagi Program Pertandingan Students in STEAM.
Program yang membawa tema, Waste Not, Save More, dibukakan kepada semua peringkat sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam di seluruh negara dengan tujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar menyertai cabaran dengan menghasilkan poster, video atau inovasi/prototaip yang berkaitan dengan literasi kewangan dan pendidikan sifar sisa.
Pada pertandingan itu, satu kategori tambahan iaitu Best Male Advocator dan Best Female Advocator of Sustainable Financial Management telah diperkenalkan untuk memberikan pengiktirafan khusus kepada pelajar secara individu yang telah menunjukkan usaha, semangat dan komitmen tinggi dalam menyertai pertandingan berkenaan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil bagi Program Pertandingan Recognise, Research, Establish, Apply, Lifelong Learning (REAL) bagi 2024 oleh Ketua Pusat STEP, Kementerian Pendidikan, Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim.
Program itu dibukakan kepada pelajar-pelajar peringkat menengah dan pusat-pusat tingkatan enam yang bertujuan untuk mendorong pelajar supaya lebih bersikap ingin tahu dan kreatif dalam menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
Pertandingan itu juga berfungsi sebagai platform untuk membina kompetensi pelajar dalam penyelesaian masalah, pemikiran kritis, kreativiti, kerjasama dan komunikasi yang secara tidak langsung membantu dalam pencapaian kejayaan cemerlang pelajar khususnya dalam bidang STEAM.
Kedua-dua program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan lagi dan menyokong kemahiran-kemahiran STEAM bagi pelajar-pelajar di Negara Brunei Darussalam.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan plak kepada sekolah-sekolah yang mencapai status tertinggi dalam Program Green School Status oleh Hajah Suriani.
Sejak program itu bermula pada 2023, sebanyak 47 buah sekolah dari seluruh negara telah mendaftar hingga 2024 dan dinilai untuk mendapatkan status masing-masing menerusi program berkenaan.
Program itu merupakan inisiatif pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti tahap pelaksanaan inisiatif, program dan aktiviti berkaitan kelestarian hijau, penjagaan alam sekitar serta kemampanan di sekolah-sekolah.
Penilaian sekolah-sekolah berkenaan dilaksanakan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam panduan Guidebook for Initiating Green-Schools in Brunei Darussalam.
Sebanyak enam buah sekolah terbaik dari setiap kategori sekolah rendah dan menengah kerajaan, sebuah sekolah terbaik daripada kategori sekolah Arab serta sebuah sekolah terbaik daripada kategori sekolah swasta telah dipilih untuk menerima penghormatan berkenaan.