Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Projek Menabung KACA 2025 (2021–2025) Fasa ke-3 bersempena ulang tahun KACA ke-39 bertempat di Pusat KACA.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin, manakala majlis dipengerusikan oleh Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli ucapan alu-aluan oleh Haji Awang Abdul Alim.
Acara kemuncak ialah penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Dato Paduka Haji Zainal.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai, jamuan ringan dan bersurai.



Pemenang Projek Menabung Sepanjang Tahun 2025 (2021–2025) ialah Norazmie anak Jambon dengan jumlah tabungan sebanyak $35,824.60, diikuti oleh Dayang Nurul Azeerah binti Haji Shahri dengan jumlah $26,446.71, manakala Dayang Nur Azeerah Hezorra binti Heromme mengumpul $23,686.85.
Sementara itu, Awang Mohd Zainul Mustaqim bin Zainal Abidin mengumpul $21,840.90, Awang Muhammad Hero Aleef bin Heromme dengan jumlah $15,604.80, Dayang Norfazlina binti Kipli menambung sebanyak $13,000 dan Awang Mohammad Faud Hizazi bin Matalam dengan jumlah $11,842.08.
Projek Menabung KACA bertujuan menanam budaya menabung dalam kalangan kanak-kanak KACA supaya mereka memahami kepentingan berjimat untuk masa depan dan tidak membebankan orang lain.
Ibu bapa digalakkan membantu anak-anak menabung dan mengurus wang mereka sebagai langkah awal dalam perjalanan hidup.
Projek itu mula dilaksanakan pada 2011–2015 (Fasa Pertama), diteruskan pada 2016–2020 (Fasa Kedua) dan kini berada dalam Fasa Ketiga (2021–2025). Projek akan diteruskan lagi pada tempoh lima tahun akan datang iaitu Fasa Keempat (2025–2030).
Secara keseluruhan, seramai 91 orang kanak-kanak menyertai projek ini, manakala 31 orang hadir membuka tabung dengan jumlah tabungan sebanyak $173,562.78 bagi tahun 2025.
Presiden, Jawatankuasa serta seluruh warga KACA merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong usaha ini.

