Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Bank Baiduri telah mengumumkan para pemenang utama bagi Promosi Ushering in a Year of Splendour and Fortune pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Hua Ho OneCity, hari ini.
Bank Baiduri dalam kenyataan yang dikeluarkan, memetik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Bank Baiduri, Manuel Bulens, sebagai berkata setiap perayaan merupakan peluang untuk menyatakan penghargaan kepada pelanggan atas kepercayaan dan kesetiaan mereka.
Dengan promosi berkenaan, pihak bank ingin memperkaya pengalaman pelanggan dengan ganjaran yang berbaloi.
Pemenang utama promosi tersebut ialah Tang Hock Hoi yang telah berjaya membawa pulang baucar membeli-belah Hua Ho H2 bernilai $3,000, manakala pemenang kedua ialah Hajah Meryamah binti Haji Mohd Daud yang menerima baucar membeli-belah Hua Ho H2 bernilai $2,000 dan Dayang Nur Syakirah Amalina binti Abdullah @ J T S H yang berjaya membawa pulang baucar membeli-belah Hua Ho H2 bernilai $1,000 berada di tempat ketiga.
Sementara itu, 10 orang pemenang hadiah sagu hati masing-masing membawa pulang baucar membeli-belah Hua Ho H2 bernilai $300.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Peniagaan Kad Bank Baiduri, Davern Lim. Turut hadir ialah Pengurus Hua Ho Department Store, Lau Soon Lin.
Cawangan-cawangan Hua Ho yang menyertai promosi berkenaan ialah Hua Ho Bebatik Kilanas, Delima, Gadong 2, Kiulap, Minimart, Mulaut, OneCity, Salar dan Tutong.


