Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Pan Bright Travel Service (Pan Bright) hari ini mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi seorang pemenang bulan Oktober dalam kempen Promosi ‘Melancong & Menang Hyundai atau Birkin’ di ibu pejabatnya, di ibu negara.
Hadiah berupa tiket penerbangan kelas ekonomi ke Singapura tajaan Singapore Airlines telah disampaikan oleh Pengurus Besar Singapore Airlines, Aldrin Arumugam kepada wakil bagi pemenang cabutan Awang Yusri.
Kupon beliau telah diundi oleh wakil Singapore Airlines, Dayang Rahmah Lina binti Haji Ibrahim pada 3 November lalu.
Kempen Pan Bright itu telah dilancarkan pada 26 Ogos lalu dan akan berakhir pada 31 Mac 2018. Dalam tempoh itu bermula September 2017 hingga Februari 2018, satu tiket bulanan akan diberikan kepada pelanggan bertuah yang berpeluang memenangi tiket pergi balik ke mana-mana destinasi jarak dekat pilihan mereka sama ada menggunakan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) atau tiket pergi balik ke Singapura menggunakan Singapore Airlines.

Hadiah utama bagi promosi ini adalah sebuah kereta Hyundai Accent atau beg jenama Hermes Birkin yang ditaja oleh Pan Bright Travel Service.
Hadiah-hadiah lain bagi cabutan utama akan termasuk dua tiket pergi balik ke mana-mana destinasi jarak jauh pilihan pemenang yang ditaja oleh RB, satu tiket pergi balik ke Brisbane yang ditaja oleh Singapore Airlines dan tiket pergi balik ke Kuala Lumpur bagi dua orang yang ditaja oleh Malaysia Airlines.
Pemilihan para pemenang akan diadakan pada April 2018.