Monday, May 12, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang Road To Lebaran 2025 diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – GHK Motors Sdn Bhd pagi tadi menganjurkan majlis cabutan bertuah sempena kempen Road To Lebaran Bersama GHK Motors 2025 yang berlangsung di Bilik Pameran Ibu Pejabat GHK Motors, Beribi.

    Kempen promosi ini telah berlangsung dari 1 Februari hingga 30 April dan memberi peluang kepada pelanggan yang membeli mana-mana model kenderaan daripada jenama Mitsubishi, Perodua, Daihatsu, MG, Maxus, Jeep dan GAC Motor untuk menyertai cabutan bertuah tersebut.

    Hadiah utama berjumlah $5,000 telah dimenangi oleh Awang Muhammad Sahdan bin Abdullah Sungkai @ Sahdan bin Sungkai, yang membeli model GAC EMZOOM GS3 R-Style.

    Menurut beliau, kemenangan tersebut amat mengejutkan dan merupakan kali pertama beliau memenangi hadiah dari mana-mana cabutan bertuah.

    “Saya agak terkejut dan tidak menduga akan menang. Ini kali pertama saya hadir ke acara seperti ini dan saya amat berbesar hati serta berterima kasih kepada pihak penganjur,” katanya.

    Pemenang hadiah utama, Awang Muhammad Sahdan memenangi wang tunai berjumlah $5,000. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Para pemenang Road To Lebaran 2025 dalam sesi bergambar ramai. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Hadiah kedua bernilai $3,000 pula dimenangi oleh Dayangku Hajah Zunaidah binti Pengiran Haji Sulaiman, manakala Dayang Noreddah binti Othman membawa pulang hadiah ketiga berjumlah $1,000.

    Cabutan hadiah utama disempurnakan oleh Pengarah GHK Motors, Jake Goh dan Pengerusi GHK Motors, Pengiran Halaluddin bin PM Dato Shariffuddin.

    Dalam ucapannya, Awang Muhammad Sahdan turut menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan yang diterima daripada GHK Motors. “Saya memilih kereta ini kerana keperluan dan keselesaan memandu. Ia mempunyai teknologi serta reka bentuk yang menarik. Perkhidmatan daripada agen GHK sangat memuaskan dan proses penyerahan kereta berjalan lancar,” jelasnya.

    Sebanyak 15 pelanggan bertuah terpilih dalam cabutan tersebut, di mana 12 orang masing-masing membawa pulang hadiah sagu hati bernilai $500.

    Turut hadir menyempurnakan majlis cabutan ialah Awang Asharul bin Norshari Kamaluddin dari BIBD At-Tamwil Berhad serta Awang Wardi, Grace Lim Hui Hoon dan Awang Muhtar bin Haji Ahmad dari Baiduri Finance Berhad.

    Majlis itu diadakan sebagai penghargaan kepada para pelanggan atas sokongan mereka kepada francais jenama di bawah GHK Motors serta bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda