Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Pelajar dari ASEAN dan Jepun telah diiktiraf semasa majlis penyampaian hadiah untuk Pertandingan Video Keselamatan Siber ASEAN-Jepun 2024, yang diadakan semasa Mesyuarat Dasar Keselamatan Siber ASEAN-Jepun ke-17 di Singapura baru-baru ini.
Pertandingan kali ke-2 itu adalah inisiatif Cyber Security Brunei (CSB) kerana Brunei Darussalam merupakan peneraju untuk aktiviti kerjasama kesedaran bersama dalam Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN-Jepun.
Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh CBS, hari ini, negara-negara anggota telah menghantar video yang dihasilkan oleh pelajar untuk menyampaikan mesej keselamatan siber.
Sebanyak 10 video yang dihantar telah dipersembahkan semasa Mesyuarat Dasar Keselamatan Siber ASEAN-Jepun yang ke-17 di Singapura.
Pada acara itu, Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis telah menyampaikan anugerah kepada wakil setiap negara anggota ASEAN.
Tempat pertama telah diberikan kepada Malaysia dengan video berjudul Inside the Mind of a Hacker: A Cybersecurity Journey. Seorang pelajar dari Universiti Asia Pasifik, Yew Choon Yuen, memenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$2,000.
Anugerah tersebut telah diterima oleh Pengarah Dasar dan Kerjasama Antarabangsa dari Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Malaysia, Shariffah Rashidah Syed Othman bagi pihak pelajar berkenaan.
Manakala tempat kedua, dari negara Myanmar dengan video bertajuk Social Media Safety, yang menyoroti bahaya berkongsi maklumat peribadi dalam talian.
Video itu telah dihasilkan oleh seorang pelajar dari Universiti Kebangsaan Seni dan Budaya (Mandalay), Myat Shwe Sin Hmue, yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$1,500.
Sementara tempat ketiga, dari negara Thailand dengan video bertajuk Atled Just Fun, yang menggambarkan risiko dan impak buli siber.
Pemenang tempat ketiga itu memenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$1,000 yang diberikan kepada Pongsakorn Saeaueng dari Kolej Teknologi PaVaya Redemptorist untuk orang kelainan upaya.
Mewakili pelajar untuk menerima anugerah tersebut adalah Setiausaha Agung Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan, Thailand, Leftenan Jeneral, Amorn Chomchey.
CSB pada September lalu telah menganjurkan acara penilaian yang dihadiri oleh wakil dari negara-negara anggota ASEAN dan misi diplomatik Jepun yang bertindak sebagai juri, di mana juri dari Brunei adalah wakil daripada Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA).
Video-video tersebut boleh ditonton di dalam Instagram rasmi CSB di @CS.gov.bn dan saluran YouTube rasmi BruCERT di www.youtube.com/bruneicert, di samping itu, AMS dan Jepun turut akan menggunakan video tersebut sebagai meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber di negara masing-masing.