Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Awang Aiman bin Rosli dari Syarikat AR Filem dan Dayangku Noorhasyimah Nadrah @ Dayangku Arina binti Pengiran Ahmad, mewakili Project Rataie diumumkan sebagai pemenang utama dalam Pertandingan Video Pendek TikTok Anti-Tembakau anjuran Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan pagi tadi.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $2,000 dalam majlis penyampaian hadiah dalam pertandingan yang merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran mengenai bahaya tembakau dan nikotin khususnya dalam kalangan belia.
Hadir bagi menyampaikan hadiah-hadiah ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan selaku tetamu kehormat, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff.
Turut diumumkan sebagai pemenang dalam kategori Like dan Share TikTok ialah Dayangku Noorhasyimah Nadrah @ Dayangku Arina binti Pengiran Ahmad (Project Rataie), Abdul Khabir Zainidi dan Mohd Bazli Rafie Wafiuddin bin Haji Saifol Bahrin dengan hadiah wang tunain sebanyak $500 setiap seorang.
Pertandingan video pendek tersebut berlangsung dari 5 Mei hingga 8 Jun manakala pertandingan Like dan Share bermula dari 1 hingga 8 Julai melalui akaun rasmi TikTok Kementerian Kesihatan, @mohbrunei.
Pertandingan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap strategi pemasaran menyesatkan oleh industri tembakau, menekankan kesan buruk penggunaan produk tembakau dan vape dan memperkenalkan perkhidmatan berhenti merokok seperti Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.
Sebagai kesinambungan usaha kesedaran ini, tayangan video dua pemenang utama akan dipertontonkan di sebuah pawagam terpilih dalam masa terdekat.
Kementerian Kesihatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta atas kreativiti dan komitmen peserta dalam menyokong usaha anti-tembakau dan membantu menyampaikan mesej kesihatan awam kepada masyarakat secara berkesan.