Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Pemerdagangan manusia merupakan masalah bersama yang menjejaskan seluruh dunia di mana setiap tahun, jutaan orang dieksploitasi di dalam dan merentas sempadan.
Penyeludup memancing mangsa dari segenap peringkat umur dan asal usul di mana mereka mengeksploitasikan mangsa bagi keuntungan serta pada masa yang sama, memperkecilkan undang-undang, mengkompromikan ekonomi dan tidak mengendahkan kesejahteraan individu serta komuniti.
“Selagi pemerdagangan masih terus wujud, ia akan terus menghalang pelindungan hak manusia dan mensabotaj keselamatan, sekuriti serta kekuatan negara-negara kita.”
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland dalam ucapannya semasa Pembukaan Seminar Membanteras Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksaan yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Haji Alidin.



Dalam ucapannya lagi, PYT McClelland menyatakan bahawa AS dan rakan-rakan kongsi antarabangsa adalah amat komited untuk menghapuskan pemerdagangan manusia bukan sahaja di dalam negara masing-masing tetapi juga di luar negara.
Beliau turut menyatakan bahawa amat menggalakkan untuk menyaksikan Negara Brunei Darussalam memperbaiki kedudukannya dalam senarai pantau Jabatan Negara TIP daripada Tier 3 ke Tier 2.
Pada masa yang sama, beliau juga mengambil maklum akan usaha berterusan Brunei untuk mengukuhkan inisiatif bagi memerangi pemerdagangan manusia dengan tumpuan kepada konteks tempatan serta dengan sokongan rakan-rakan sejawat ASEAN.
PYT McClelland seterusnya berkata bahawa trauma pemerdagangan bukan sahaja berakhir dengan penangkapan tetapi kesannya akan terus dibawa oleh para mangsa.
Dalam hubungan itu, Homeland Security Investigations (HSI) juga menerajui perbincangan mengenai kaedah yang terbaik untuk membantu para mangsa dan mengambil pendekatan berpusatkan mangsa dalam temu bual serta siasatan yang dilaksanakan.
Dengan bekerjasama dengan mangsa, tambahnya, mereka akan dapat untuk menghasilkan strategi serta dasar anti-pemerdagangan yang lebih baik dan bermaklumat.
Perkara yang harus ditekankan adalah pemerdagangan manusia merupakan satu jenayah yang menafikan harga diri, kebebasan dan hak asasi jutaan manusia.
Oleh itu, PYT McClelland menekankan bahawa ia akan memerlukan komitmen daripada semua untuk menghapuskan pemerdagangan manusia.
Seminar yang dilaksanakan dalam usaha bersama untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia dan buruh paksaan dikendalikan HSI, AS melalui PPDB, diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 30 Ogos.
Seminar tersebut mengetengahkan enam orang pakar isi kandungan dari HSI dengan seminar disertai oleh seramai 70 orang peserta daripada agensi penguat kuasa undang-undang iaitu PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JEKD), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Buruh, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Jabatan Peguam Negara.
Seminar itu mengandungi pengajian kes, latihan praktikal dengan senario temu duga serta perkongsian trend terbaharu dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Di samping itu, seminar itu akan diambil kira sebagai satu pencapaian matlamat dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Anti-Pemerdagangan Orang.
Seminar selama tiga hari itu bermatlamat untuk menyediakan forum di mana para peserta boleh menambah baik keupayaan untuk memahami dan mengenal pasti pemerdagangan manusia dan kesan-kesan kepada mangsa serta bagi belajar mengenai cara membanteras jenayah pemerdagangan manusia.

