BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seorang warganegara Bangladesh, Mahedi Hasan berumur 44 tahun, telah mengaku bersalah pada 30 September 2025 atas tiga pertuduhan kesalahan pemerdagangan orang.
Dua pertuduhan telah dikemukakan di bawah Bab 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 bagi kesalahan yang dilakukan pada tahun 2018, sementara pertuduhan ketiga dikemukakan di bawah Bab 5(1) Akta Anti-pemerdagangan Orang, Penggal 230 bagi kesalahan yang dilakukan pada tahun 2019.
Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan-kesalahan tersebut termasuklah hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada empat tahun tetapi tidak melebihi 30 tahun, denda tidak melebihi $1,000,000 serta sebatan.
Dalam menjatuhkan hukuman, Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menegaskan tingkah laku defendan menunjukkan unsur pemberatan yang serius, di mana mangsa-mangsa telah direkrut secara sengaja melalui penipuan dan diperdaya dengan janji palsu mengenai peluang pekerjaan yang stabil dan bergaji lumayan di Negara Brunei Darussalam.
Defendan telah melaksanakan kawalan bersifat eksploitatif terhadap mangsa-mangsa tersebut dengan merampas pasport mereka serta menuntut bayaran bulanan atas alasan palsu kononnya sebagai keperluan undang-undang dan bagi tujuan penghantaran pulang.
Defendan juga telah menempatkan mereka di pelbagai tempat kerja, sering kali dengan bayaran yang amat sedikit atau tanpa gaji sama sekali.
Mahkamah selanjutnya menegaskan bahawa kesalahan-kesalahan tersebut bukanlah kejadian terpencil tetapi merupakan sebahagian daripada corak perlakuan jenayah yang berulang dalam tempoh masa yang panjang, menunjukkan suatu rancangan yang dirancang dengan teliti dan bukannya kealpaan sementara. Corak tersebut melibatkan ramai mangsa yang telah meletakkan kepercayaan mereka kepada defendan, setelah meninggalkan keluarga masing-masing dan menanggung hutang dengan harapan untuk memperbaiki masa depan mereka.
Tindakan defendan itu juga menjejaskan integriti sistem buruh dan imigresen Negara Brunei Darussalam. Memandangkan terdapat unsur penipuan dan eksploitasi yang terlibat.
Mahkamah memutuskan bahawa hukuman penjara yang berat serta hukuman pencegahan yang tegas adalah wajar. Sehubungan itu, Pesuruhjaya Kehakiman telah menjatuhkan hukuman terhadap defendan dengan hukuman penjara selama lima tahun, denda sebanyak $50,000 dengan hukuman penjara selama 50 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut serta enam kali sebatan. Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dan Timbalan Pendakwa Raya Syazwani binti Jumat telah mewakili pendakwa raya dan peguam-peguam daripada Tetuan Daud Ismail Company bagi pihak defendan.


