KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Arena sukan Malaysia hari ini dikejutkan dengan pemergian tokoh sukan bina badan negara Datuk Dr Gan Boon Leong pada usia 84 tahun awal pagi tadi.
Beliau yang dilahirkan pada 25 Ogos 1937, pernah meraih gelaran Mr Universe, Mr Asia dan Mr Malaysia. Beliau juga pernah menerima anugerah Honorary Mr Universe pada 2000, sekali gus diiktiraf sebagai ‘Bapa Bina Badan Malaysia’.
Khidmat bakti beliau dalam bidang sukan negara bukan hanya sebagai atlet tetapi pernah menjadi Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), selain penglibatan dalam bidang politik termasuk memegang jawatan Exco kerajaan negeri dan Pengerusi MCA Melaka.
Ketika menjadi Presiden PBBM, beliau menganjurkan pelbagai kejohanan dunia dan antarabangsa, seperti Kejohanan Bina Badan Asia pada 1987, 1993 dan 1994, Kejohanan Dunia Lelaki 1990 diikuti oleh Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN 1992 dan Bina Badan Komanwel pertama ketika Malaysia menjadi tuan rumah edisi 1998 dan Mr Universe pada 2000. – Bernama