KOTA KINABALU, 29 OGOS – Sabah kehilangan seorang tokoh politik berwibawa berikutan pemergian Datuk Seri Lajim Ukin yang banyak menabur jasa dan bakti kepada pembangunan negeri itu sepanjang memegang pelbagai portfolio penting di peringkat negeri dan persekutuan.
Lajim bukanlah seorang yang asing dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana sepanjang lebih 38 tahun berkecimpung dalam bidang politik beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di bawah pentadbiran tiga kepimpinan negeri.
Allahyarham, 66, memegang jawatan nombor dua negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Osu Sukam pada 1999, Tan Sri Chong Kah Kiat (2001) dan Tan Sri Musa Aman pada 2003.
Bekas Ahli Parlimen Beaufort yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital KPJ di sini pada jam 6:23 pagi tadi. – Bernama