LAWAS, 31 OKT – Pemergian Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing yang disahkan meninggal dunia pagi tadi, adalah satu kehilangan besar buat negeri itu.
Dukacita dengan berita itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kelihatan sebak ketika ditemui pemberita di sini, meluahkan rasa sedih dan mengakui pemergian rakan seperjuangannya itu memberi impak besar terhadap diri beliau.
Katanya, mendiang telah banyak berjasa dan memberi sumbangan serta idea sepanjang berkhidmat dalam Kabinet negeri, termasuk dalam barisan kerajaan negeri pimpinan Abang Johari ketika ini.
“Beliau rakan dalam kerajaan ini yang banyak beri sumbangan dalam urus tadbir kerajaan. Saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau. Saya rasa kehilangan besar sebagai rakan…takziah saya ucapakan kepada keluarga mendiang.
“Beliau banyak menyumbangkan kepada pembangunan orang luar bandar khususnya masyarakat Dayak di Sarawak,” katanya selepas melancarkan program Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN-MYSRBN) Kampung Tengah di Trusan, Lawas, hari ini.
Abang Johari berkata Masing adalah seorang pemimpin yang berwibawa dan berjiwa rakyat, yang amat serius dalam membela nasib rakyat.
Masing disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7:05 pagi pada usia 72 tahun, dan berita pemergiannya dimaklumkan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi Bernama hari ini.
Masing meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Corrine Masing dan lima orang anak. – Bernama
