Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Beberapa buah stesen minyak di keempat-empat buah daerah dijadualkan untuk ditutup sementara bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian ke atas alat sukatan pam minyak bagi Julai 2024.
Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan itu adalah selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukatan dan timbangan bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja pemeriksaan dan penelitian berkenaan, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula pukul 9 pagi sehingga selesai, yang mana anggaran pelaksanaannya adalah sekitar 2 jam.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak itu merupakan pemeriksaan rutin yang dikendalikan sebanyak tiga kali setahun.
Kerja-kerja pemeriksaan akan dilaksanakan pada 2 Julai di Stesen Minyak Persatuan TIBA (KOTIBA), 3 Julai di Stesen Minyak Gadong, 4 Julai di Stesen Minyak Amanah, 6 Julai di Stesen Minyak Shahryza, 9 Julai di Stesen Minyak Hajah Badariah dan Anak-Anak, 10 Julai di Stesen Minyak IBA, 11 Julai di Stesen Minyak Pekan Muara, 13 Julai di Stesen Minyak TAIB Delima dan 16 Julai di Stesen Minyak Koperasi Usahajaya Pekira Bhd bagi Daerah Brunei adalah Muara.
Bagi Daerah Belait pula, pada 9 Julai di Stesen Minyak Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu dan 11 Julai di Stesen Minyak Roxana, bagi Daerah Tutong pada 22 Julai di Stesen Minyak Syarikat Perusahaan Cahaya Pakatan Berhad dan 23 Julai di Stesen Minyak KODRAT Berhad (Koperasi Dataran Gong Tiga) manakala itu, bagi Daerah Temburong pada 23 Julai di Stesen Minyak Negalang Maju Sdn Bhd.