Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan ke atas alat sukatan jenis pam minyak di stesen-stesen minyak.
Pemeriksaan dan penelitian ke atas stesen-stesen minyak tersebut adalah pemeriksaan rutin yang dikendalikan tiga kali setahun, di mana pemeriksaan bacaan ketepatan, sah dan berdaftar dengan Unit SDT adalah dikehendaki ke atas penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan.
Dengan mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan orang ramai serta para tenaga kerja yang terlibat sepanjang kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian tersebut, stesen-stesen minyak akan ditutup bermula 9 pagi hingga selesai, yang dianggar mengambil masa kira-kira dua jam.
Jadual penutupan sementara stesen-stesen minyak bagi kerja-kerja pemeriksaan dan penelitian bacaan ketepatan pada bulan Ogos 2024 itu bermula di Daerah Brunei dan Muara pada 5 Ogos di Stesen Minyak Syarikat Kerjasama Kampung Tanjong Nangka (Satenaga), Stesen Minyak Syarikat Badan Tanmiah pada 6 Ogos dan seterusnya Stesen Minyak TAIB Beribi pada 7 Ogos dan Stesen Minyak Pengalayan pada 8 Ogos.
Manakala di Daerah Belait pada 13 Ogos di Stesen Minyak Perkhidmatan Lumut, dan 15 Ogos di Stesen Minyak Koperasi Kampung Sungai Teraban (KKST) Berhad serta di Daerah Tutong di Stesen Minyak Syarikat PHA Bakar bin Jambol pada 20 Ogos.
Sementara itu, waktu pengujian bagi setiap stesen yang terlibat bermula dari pukul 9 hingga 11 pagi.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Unit SDT, IBE melalui e-mel: sdt@mofe.gov.bn atau melalui talian 2334092.


