Thursday, October 17, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemeriksaan awal penting untuk kenal pasti risiko NCD

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JAN – Negara Brunei Darussalam mengalami trend global yang serupa dari segi peralihan penyakit iaitu daripada penyakit berjangkit kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

    Berdekad-dekad lalu, kebanyakan bebanan penyakit adalah disebabkan penyakit berjangkit seperti batuk kering, gastroenteritis serta penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh
    vaksin.

    Dengan penemuan dan penghasilan vaksin dan antibiotik, dunia telah berupaya bagi menghapuskan penyakit-penyakit berjangkit tetapi dengan gaya hidup moden dan kemajuan perindustrian, penduduk juga berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu seperti pemakanan tidak sihat, gaya hidup yang penuh tekanan, kurang aktiviti fizikal dan peningkatan penggunaan automasi.

    Semua itu telah membawa kepada peningkatan trend NCD seperti penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung, strok, kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik.

    NCD berkenaan adalah kronik dan ia bermula dalam fasa senyap atau tanpa simptom dengan faktor-faktor risiko bertambah dalam tubuh tanpa kehadiran simptom yang jelas.

    Dr Ong Sok King (tengah) memberi penerangan mengenai pelaksanaan Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan ke-3, fasa kedua yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah baru-baru ini. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Oleh itu, pemeriksaan dan ujian saringan awal akan amat penting dengan pemeriksaan seperti tekanan darah, tahap gula dalam darah serta Indeks Jisim Badan (BMI), tekan Pakar Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Ong Sok King ketika menjawab persoalan mengenai trend NCD yang disaksikan di Negara Brunei Darussalam.

    Dalam hubungan itu, pemeriksaan yang dijalankan oleh pembantu penyelidik semasa Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan ke-3 (NHANSS-3) akan dapat memberikan peluang kepada individu bagi mempunyai pemahaman mengenai status tubuh badan mereka serta boleh bertindak sebagai amaran awal dalam perubahan tabiat atau gaya hidup dan juga pengurusan stres, jelasnya lagi semasa sidang media mengenai NHANSS-3, fasa kedua yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

    Beliau menerangkan bahawa kaji selidik berkenaan boleh memberi gambaran penuh terhadap kadar NCD serta faktor risikonya dan juga bagi mengenal pasti status kesihatan dan pemakanan dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

    Mengulas mengenai dengan NHANSS, Dr Ong Sok King berkata ia merupakan kaji selidik kebangsaan berskala besar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

    Kaji selidik kebangsaan pertama, jelasnya, telah diadakan pada 2011 dan laporan kaji selidik berkenaan telah diterbitkan serta boleh didapatkan dari laman sesawang Kementerian Kesihatan.

    Kaji selidik kebangsaan kedua juga telah diadakan pada 2016 di mana kaji selidik kebangsaan dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk diadakan setiap lima hingga 10 tahun dengan matlamat bagi melihat perkembangan usaha kebangsaan dalam mencegah dan mengawal penyakit serta bagi melihat jika populasi berada di landasan yang betul dari segi gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, melakukan lebih banyak aktiviti fizikal dan memakan jenis makanan yang betul.

    Beliau turut mengongsi bahawa dalam kaji selidik kebangsaan ketiga, pihaknya turut melihat kepada komponen kesihatan mental yang tidak hanya tertumpu pada orang dewasa tetapi juga para ibu.

    “Ini adalah amat penting sekali kerana kita mengetahui bahawa kesihatan mental dan pengurusan stres adalah berkaitan rapat dengan kesihatan fizikal,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda