Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemeriksaan Bersepadu di Pasar Tani Selayun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Para pengusaha bangku pasar diingatkan untuk mengamalkan ketelusan harga serta menjalankan amalan perniagaan yang telus dan beretika dengan mematuhi Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) dan Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151.

    Perkara ini ditekankan semasa pemeriksaan bersepadu Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi ke Pasar Tani Selayun, baru-baru ini.

    Pemeriksaan Bersepadu JPES dan SDT ke Pasar Tani Selayun, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Pemeriksaan bersepadu bertujuan bagi memantau dan meningkatkan kesedaran dan kepatuhan para pengusaha bangku pasar ke atas Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) dan Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151, dalam usaha untuk memelihara kesejahteraan pengguna dan membina persekitaran perniagaan yang wajar dan telus.

    Hasil daripada pemeriksaan bersepadu, JPES mendapati lebih daripada lima puluh pengusaha bangku patuh terhadap Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga).

    Sementara itu, sebilangan pengusaha bangku masih didapati tidak mempamerkan tanda harga atau mempamerkan tanda harga pada sebahagian barangan sahaja.

    GAMBAR SERAHAN JPES

    Para pengusaha bangku diberi amaran untuk mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul pada barangan yang dijual, dan jika didapati melakukan kesalahan berulang, boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak $1,000 menurut bab 10A, Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Para pengusaha bangku turut diberikan poster mengenai paparan tanda harga bagi meningkatkan kesedaran terhadap Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga) dan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul pada barangan yang dijual adalah penting bagi membolehkan pengguna untuk membuat pembelian yang bermaklumat.

    Sementara itu, Unit SDT telah mendapati sebanyak 73 unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan perdagangan di mana dua unit gagal mematuhi Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh tempoh kebenaran pendaftaran yang dibenarkan.

    Pihak Unit SDT telah mengeluarkan satu Notis Peringatan dan pemilik alat dikehendaki hadir ke Pejabat Unit SDT mengikut tadahan alat didaftarkan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan bagi memperbetulkan isu berkenaan.

    Kesalahan di bawah Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151 boleh didenda sebanyak $1,000 atau penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya sekali dan timbangan, sukatan atau alat untuk menimbang tersebut boleh disita.

    Sehubungan itu, untuk pertanyaan lanjut mengenai paparan tanda harga serta sukatan dan timbangan boleh disalurkan melalui saluran rasmi ke Perintah Kawalan Harga (Paparan Tanda Harga): Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn, atau Akta Sukatan dan Timbangan, Penggal 151: Unit SDT, Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn.

    Gambar-gambar semasa Pemeriksaan Bersepadu JPES dan SDT ke Pasar Tani Selayun, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda