Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Bakal jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan fardu haji tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan (perjumpaan doktor) yang bermula 10 November.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji, pemeriksaan kesihatan akan dijalankan secara berperingkat di keempat-empat daerah bermula di Daerah Tutong di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah pada 10 November dari pukul 8:30 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 hingga 4:30 petang.
Bagi Daerah Temburong, pemeriksaan akan diadakan pada 11 November di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, dari pukul 8:30 pagi hingga 12:15 tengah hari.
Seterusnya, bagi Daerah Belait, pemeriksaan dijadualkan pada 12 November di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, dari pukul 8:30 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 hingga 4:30 petang.
Manakala bagi Daerah Brunei dan Muara, pemeriksaan akan diadakan di Pusat Amal Cerah Sejahtera, Kampung Belimbing, Subok, Mukim Kota Batu (seberang Taman Riadah Tasik Sarubing) bermula 13 November hingga selesai, dari pukul 8:30 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 hingga 4:30 petang.
Bakal jemaah haji adalah dikehendaki hadir menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut pada tarikh dan tempat yang ditetapkan dengan membawa bersama kad pengenalan pintar, kad BruHims, buku rekod kesihatan, Panduan Kesihatan Haji bagi Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (jika ada) serta buku suntikan berwarna kuning (jika ada).


