Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah telah dikurniakan Darjah Kebesaran Diraja Thailand iaitu ‘Knight Grand Cross (First Class) Of The Most Noble Of The Crown Of Thailand’ oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun, Raja Thailand, dalam satu majlis pengurniaan di Kementerian Pertahanan, Bangkok, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, pengurniaan Darjah Kebesaran itu telah disampaikan oleh Ketua Angkatan Tentera, Angkatan Tentera Diraja Thai (RTARF), Jeneral Surapong Suwana-adth.
Pengurniaan yang berprestij kepada Pemerintah ABDB itu adalah sebagai menghargai jasa beliau dalam menyumbangkan khidmat bakti yang cemerlang serta sumbangan kepada menjalinkan hubungan mesra antara ABDB dan RTARF.
Turut hadir di majlis tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Bangkok, Thailand dan pegawai-pegawai kanan dari Ibu Pejabat RTARF.

Semasa di Thailand, Pemerintah ABDB telah mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwon dan Jeneral Surapong Suwana-adth, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta penglibatan berterusan antara kedua-dua angkatan tentera.
ABDB dan RTARF mempunyai kerjasama ketenteraan yang akrab dalam bentuk latihan dua hala dan pelbagai hala, lawatan, pertukaran profesional dan kehadiran kursus.
Pemerintah ABDB juga berkesempatan membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri di Government House, Jeneral Dato Paduka Seri Tanasak Patimapragorn dan juga melawat Pusat Operasi Anti-Pengganasan (CTOC).
Menurut kenyataan itu lagi, Pemerintah ABDB dan rombongan berada di Thailand dari 22 hingga 26 April 2017.