Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintah ABDB terima anugerah ketenteraan di Singapura

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan telah dikurniakan dengan Anugerah Ketenteraan Tertinggi Singapura, iaitu Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) oleh Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam semasa upacara pengurniaan yang berlangsung di Kementerian Pertahanan, Republik Singapura, kelmarin.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan yang dikongsikan di sini, hari ini, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi telah dianugerahkan dengan pingat tersebut sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan beliau yang sangat bernilai dan cemerlang daIam mengeratkan perhubungan di antara ABDB dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

    Di bawah kepimpinan beliau, interaksi dan kerjasama di antara kedua-dua angkatan tentera telah berkembang maju melalui perlaksanaan pelbagai aktiviti ketenteraan seperti eksesais bersama, latihan, kursus, mesyuarat dan lawatan dua hala.

    Interaksi yang sangat luas tersebut telah mengeratkan lagi hubungan baik yang sudah lama terjalin di antara anggota kedua-dua angkatan tentera.

    Sebelum upacara penganugerahan tersebut, Pemerintah ABDB juga berkesempatan untuk membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen.

    Sebelum ini, Pemerintah ABDB telah menerima Pingat Jasa Gemilang (Tentera) yang disampaikan oleh TYT Dr Ng Eng Hen pada 14 Jun 2022 semasa beliau membuat lawatan pengenalan ke Republik Singapura mulai 13 hingga 15 Jun 2022.

    TYT Tharman Shanmugaratnam mengurniakan Anugerah Ketenteraan Tertinggi Singapura kepada Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda