Tuesday, November 26, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintah TDDB baharu ambil alih tugas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman secara rasmi memikul tanggungjawab sebagai Pemerintah Tentera Darat
    Diraja Brunei (TDDB) baharu setelah upacara serah terima tugas di Padang Kawad Batalion Pertama TDDB, Berakas Garison, hari ini.

    Majlis menyaksikan upacara serah terima tugas antara Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal bin Abdul Latif dan Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam.

    Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Pemerintah TDDB, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai TDDB serta Sarjan Mejar Tentera Darat dan anggota TDDB.

    Sejurus ketibaan, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal menerima tabik hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota TDDB di bawah perintah Timbalan Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga TDDB, Mejar Mohamad Safizan bin Ahmad.

    Dalam ucapannya sebagai Pemerintah TDDB ke-13, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal menekankan bahawa tugas dan tanggungjawab semua anggota TDDB adalah penting dalam peranan mempertahankan negara.

    Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal menyerahkan Tongkat Kepimpinan kepada Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam. – Gambar oleh Adib Noor
    Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal menyampaikan ucapannya.
    Brigadier General Haji Mohammad Shanonnizam semasa menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Pemerintah TDDB.

    Sewajarnya, tambah beliau, semua anggota TDDB yang memikul tanggungjawab itu
    mempunyai ketaatan dan semangat kepimpinan yang mampan, kesiapsiagaan yang
    mantap serta kekuatan rohani untuk memacu TDDB ke arah kejayaan menegakkan kedaulatan raja, agama dan negara.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan Sijil Serah Terima Tugas Pemerintah TDDB
    dan penyerahan Tongkat Kepimpinan Pemerintah TDDB daripada Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Saifulrizal kepada Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam melambangkan penyerahan rasmi tugas sebagai Pemerintah TDDB.

    Brigedier Jeneral Haji Mohammad Shanonnizam selaku Pemerintah TDDB ke-14 dalam ucapan sulungnya menyampaikan tiga panduan asas iaitu Sateria, Setia dan Sedia, yang akan dapat menjana dan meningkatkan semangat Kesatriaan, Kesetiaan dan Kesiapsiagaan kepada setiap anggota dalam memastikan TDDB dapat melaksanakan peranan dan tugasnya dengan berkesan sebagai satu organisasi yang bersatu-padu, boleh dipercayai dan adaptif dalam sama-sama menjaga keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

    Bagi memberkati majlis, Leftenan Shaikh Shahrul Azhar bin Shaikh Haji Ahmad dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT) membacakan Doa Selamat dan Doa Ambil Alih Tugas serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis kemudian beredar ke Mes Pegawai Berakas Garison dan diakhiri dengan Doa Penutup, sesi bergambar ramai dan penandatanganan lembaran kenangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda