Pemerintah TDDB terima Pingat Jasa Gemilang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Khairul Hamed bin Haji Lampoh telah dikurniakan Pingat Jasa Gemilang (Tentera) oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, penyampaian pingat berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Republik Singapura, Dr Ng Eng Hen kepada Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed di Kementerian Pertahanan, Republik Singapura.

Kenyataan itu menyebutkan pemerintah TDDB telah memain-kan peranan penting dalam meningkatkan hubungan pertahanan di antara TDDB dan Tentera Darat Republik Singapura.

Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama ketenteraan dua hala di antara kedua-dua buah angkatan tentera kini semakin kukuh melalui pelbagai interaksi dua hala seperti lawatan rasmi, eksesais dan kursus yang telah meningkatkan lagi pembangunan profesional anggota-anggota daripada kedua-dua angkatan tentera.

Latihan dua hala seperti Eksesais Maju Bersama dan Eksesais Rintis Bersama memberi peluang kepada kedua-dua belah angkatan tentera untuk meningkatkan kerjasama dalam memantapkan hubungan ketenteraan yang sudah lama terjalin.

Sebelum majlis pengurniaan, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed telah mengadakan kunjungan hormat kepada Dr Ng Eng Hen dan Panglima Tentera Darat Republik Singapura, Mejar Jeneral Goh Si Hou.

Dr Ng Eng Hen menyempurnakan penyampaian Pingat Jasa Gemilang (Tentera) kepada Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Awang Khairul Hamed. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan