Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Pemerintah-pemerintah angkatan tentera laut dan perwakilan dari semua negara anggota ASEAN telah berhimpun bagi Mesyuarat Ketua-ketua Tentera Laut ASEAN (ANCM) ke-17 yang berlangsung pada 8 hingga 12 Mei lalu di Manila, Republik Filipina.
Mesyuarat berkenaan dihoskan oleh Tentera Laut Filipina (TLF) yang juga menganjurkan Simposium Keselamatan Maritim (MSS) 2023 dan ASEAN Fleet Review (AFR) selaras dengan ANCM ke-17.
Mengetuai rombongan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) ialah Pemangku Pemerintah TLDB, Kapten Haji Mohamad Sarif Pudin bin Matserudin dan disertai oleh dua pegawai turus iaitu Timbalan Pegawai Turus Perisikan, Leftenan Komander Najihah binti Haji Hisab, dan Penolong Pegawai Turus Perhubungan Luar Tentera Atase Pertahanan, Leftenan Madya Warhamni binti Bohari.
MSS 2023, yang diadakan pada 9 Mei lalu telah mengetengahkan tema ASEAN at the Forefront: Emphasizing ASEAN’s Perspective, Highlighting its Strength.
Hadir untuk menyampaikan ucaptama ialah Pegawai Bertanggungjawab di Jabatan Pertahanan Negara, Setiausaha Rendah Kanan, Carlito G. Galvez Jr.
Plenari ANCM ke-17 yang bermula pada 10 Mei lalu didahului dengan kata-kata aluan oleh Flag Officer in Command, TLF, Laksamana Muda Toribio Adachi Jr yang menekankan peranan penting ANCM dalam menyatukan kesemua tentera laut ASEAN dalam menangani isu maritim serantau dan untuk meneruskan kerjasama agar interoperability sentiasa dipertingkatkan dan mencapai tindakan paduan yang lebih berkesan di laut.
Salah satu agenda utama ialah pertukaran pandangan di mana semua pemerintah angkatan tentera laut ASEAN berkongsi perspektif mereka mengenai tema ANCM pada tahun ini, iaitu Synergy at Sea: Regional Cohesion for Peace and Stability.
Agenda mesyuarat tersebut melibatkan perkongsian maklumat dan pengemaskinian mengenai aktiviti-aktiviti ANCM pada masa depan, iaitu Multilateral Naval Exercise Komodo ke-2 pada 4 hingga 8 Jun 2023, anjuran Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) dan ASEAN Navy Training Experience Exchange Program (ANTEEP) ke-2, pada November 2023, anjuran TLDB.
Pada masa yang sama, AFR telah diadakan di perairan Subic Bay pada 11 Mei di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Carlito G. Galvez Jr.
AFR tersebut melibatkan KDB DARUTTAQWA dan KDB AFIAT dari TLDB, BRP ANTONIO LUNA dan BRP ANDRES BONIFACIO dari TLF, RSS SUPREME dari Tentera Laut Republik Singa-pura, KRI I GUSTI NGURAH RAI dari TNI-AL, KD LEKIU dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), HTMS PATTANI dari Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT), VPNS TRAN HUNG DAO dari Tentera Laut Rakyat Vietnam (TLRV) serta BRP DAVAO DEL SUR sebagai reviewing ship bagi AFR tersebut.
Pemangku Pemerintah TLDB juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dua hala dengan pemerintah angkatan tentera laut dari TLF, TLRV, TNI-AL, TLDT serta perwakilan dari Tentera Darat Rakyat Laos (TDRL) dan Tentera Laut Diraja Kemboja (TLDK).