Sunday, January 12, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintah TLDB ke-17 terima tugas

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Laksamana Pertama Spry bin Haji Serudi @ Seruji mengambil alih pucuk kepimpinan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) daripada mantan Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman bin Haji Suhaili @ Suhaily pada Majlis Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas di Padang Kawad, Bravo, Pangkalan Muara, hari ini.

    Setiba di padang Kawad Bravo, mantan pemerintah TLDB ke-16 menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota TLDB yang telah diketuai oleh Leftenan Komander Amiel Azim bin Haji Afflon.

    Acara diteruskan dengan ucapan perpisahan daripada Laksmana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman yang menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga TLDB atas pencapaian, usaha dan semangat perjuangan bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

    Beliau juga menasihati warga TLDB untuk memperingati nilai teras Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan lebih menekankan kepada takwa dan mengingati Allah SWT dalam kehidupan seharian bekerja serta memupuk semangat berpasukan kerana kejayaan hanya datang dengan semangat berpasukan yang tinggi.

    Majlis turut menyaksikan upacara menandatangani sijil serah terima tugas bagi menandakan penyerahan tugas sebagai pemerintah TLDB.

    Ini diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pegawai Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Kapten Mohammad Farid bin Mohammad Raffi.

    Majlis diteruskan dengan pemerintah TLDB yang baharu menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormatan bagi menandakan penerimaan jawatan dan kemudiannya menyampaikan ucapan perasmian beliau sebagai pemerintah TLDB ke-17.

    Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Haji Othman secara rasmi menyerahkan tugas pemerintah TLDB kepada Laksamana Pertama Spry.
    Pemerintah TLDB baharu memeriksa perbarisan kawalan kehormatan bagi menandakan penerimaan jawatan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda