Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintah TLDB sertai WPNS ke-18

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry bin Haji Serudi @ Haji Seruji selaku ketua rombongan TLDB telah menghadiri Simposium Tentera Laut Pasifik Barat (WPNS) ke-18 dan International Fleet Review (IFR) 2022 yang diadakan di Yokosuka, Jepun pada 6 hingga 8 November lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, penyertaan TLDB tahun ini adalah lebih signifikan dengan pelayaran TLDB buat kali pertama ke Jepun untuk menghadiri IFR 2022 yang diadakan bagi menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Pertahanan Maritim Jepun (JMSDF) ke-70.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada acara IFR 2022 ialah Menteri Pertahanan Jepun, Tuan Yang Terutama Yasukazu Hamada, di atas JS Izumo bagi meneliti kapal-kapal yang melibatkan KDB Darulehsan dan 36 buah kapal tentera laut yang lain dari Jepun, Australia, Bangladesh, Kanada, India, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Pakistan, Singapura, Thailand dan United Kingdom.

    Pemerintah TLDB dan pemerintah-pemerintah tentera laut yang lain juga sama-sama memeriksa kapal dalam acara IFR berkenaan dengan antara aktiviti yang diadakan ialah latihan mencari dan menyelamat.

    Pada masa yang sama, semasa berada di pelabuhan, aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan merupakan perarakan bandar raya, interaksi sukan dan lawatan ke kapal-kapal.

    Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry semasa menghadiri WPNS ke-18 di di Yokosuka, Jepun, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    Sejurus selepas acara IFR, WPNS ke-18 telah dirasmikan oleh Ketua Turus JMSDF, Laksamana Ryo Sakai di Yokohama Royal Park Hotel pada 7 November.

    Mesyuarat itu dijalankan selama dua hari pada 7 dan 8 November di mana pemerintah-pemerintah tentera laut di rantau Pasifik Barat membentangkan hal-hal kepentingan bersama sejajar dengan tema ‘Lautan Bebas dan Terbuka untuk Generasi Seterusnya’.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry berpeluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama Laksamana Ryo Sakai; Pemerintah Tentera Laut Diraja Thai, Laksamana Cherngchai Chomcherngpat; Pemangku Pemerintah Tentera Laut Republik Filipina, Laksamana Muda Ceaser Bernard N. Valencia; dan Pemerintah Tentera Laut Republik Singapura, Laksamana Muda Aaron Beng.

    Mesyuarat WPNS diadakan setiap dua tahun yang bermula sejak 1988 bagi menyatukan tentera laut Pasifik Barat dalam usaha bagi menyelaraskan dan membincangkan hal-hal berkepentingan bersama yang bertujuan untuk menangani cabaran-cabaran yang sama.

    Mesyuarat WPNS ke-19 akan dihoskan oleh People’s Liberation Army-Navy (China).

    Selaras dengan objektif WPNS ke-18, TLDB menegaskan kerjasamanya dalam membina, mengukuhkan dan mengekalkan hubungan serta kebolehoperasian antara semua peserta ke arah lautan serantau yang aman dan damai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda