Pemerintah TUDB baharu mulakan tugas

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah mengadakan Upacara Serah Terima Tugas di antara Mantan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dengan Pemerintah TUDB yang baharu, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim di Dewan Punai, Pangkalan Tentera Udara Rimba hari ini.

Pada majlis penyerahan itu, Brigedier (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah ketika ucapan perpisahan menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas limpah perkenan Baginda bagi lantikan dan kepercayaan Baginda untuk beliau menerajui tampuk pemerintahan TUDB selama dua tahun sejak tahun 2018.

“Sepanjang menjawat pemerintah TUDB, saya sangat gembira melihat beberapa perubahan dan kejayaan yang dicapai oleh TUDB. Saya percaya pencapaian dan perkembangan ini dapat dicapai melalui anggota-anggota yang profesional, memberikan komitmen yang tinggi kepada organisasi dan sentiasa fokus kepada tugas masing-masing.

“Profesionalisme ini dapat dilihat apabila TUDB dengan jayanya mengungkayahkan beberapa aktiviti serantau seperti AACC, AAFET dan sebagainya,” kongsi Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah.

Sebagai sebuah institusi pertahanan, beliau juga mengingatkan semua mengenai peranan anggota tentera yang memerlukan tahap disiplin dan integriti yang tinggi.

Upacara Serah Terima Tugas di antara Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dengan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif di Dewan Punai, Pangkalan Tentera Udara Rimba kelmarin.

“Oleh itu, setiap anggota hendaklah sentiasa membudayakan sikap ingat mengingati antara sesama anggota bagi menjaga keutuhan organisasi ABDB supaya ianya sentiasa di pandang tinggi atau menjadi role model di kalangan masyarakat,” tekannya.

Acara diteruskan lagi dengan penandatanganan Sijil Serah Terima Tugas Pemerintah TUDB serta penyerahan Pilot Cyclic di antara Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dengan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif, yang melambangkan penyerahan tugas sebagai pemerintah TUDB secara rasmi.

Manakala dalam ucapan Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif, beliau menekankan harapan untuk TUDB terus melangkah maju mengharung pelbagai cabaran ketika negara masih lagi dilanda pandemik COVID-19.

Tambahnya, TUDB juga memainkan peranan dalam membantu Task Force COVID-19 Kumpulan Bantu dengan memberikan tenaga manusia dan aset bagi membantu Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar apa jua yang telah dirancang, sedang dilaksanakan dan dipraktikkan mengikut garis panduan sebelum ini akan dapat diteruskan malahan dipertingkatkan dan dimantapkan lagi.

Beliau juga mengingatkan anggota TUDB supaya terus menyemai perpaduan, menjalan-kan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan kerjasama dan profesionalisme melalui pendekatan secara holistik atau Whole of Government Approach dalam mempertahan keamanan dan kestabilan negara bagi menjayakan wawasan negara 2035, jelas beliau.

Beliau turut menasihatkan anggota TUDB untuk memastikan keselamatan dan kemakmuran negara sentiasa dijaga dan tidak berkompromi dalam apa jua situasi.

“Semua peringkat dan warga diseru untuk mempunyai komitmen yang tinggi, bertanggungjawab serta accountable dalam segala tindak-tanduk, berfikiran jauh ke hadapan dan berani mewujudkan pembaharuan,” tambah Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif.

Turut hadir di upacara tersebut ialah timbalan pemerintah TUDB, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, sarjan mejar dan anggota-anggota TUDB. Upacara diakhiri dengan bacaan Doa Penutup yang diketuai oleh Pegawai dari Jabatan Agama ABDB (JAMAAT), Leftenen (U) Haji Muhd Syasuandi bin Haji Abu Bakar.