Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintahan beraja mendaulatkan Islam

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    RASA syukur dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah memayungi Negara Brunei Darussalam dengan limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seorang raja, pemimpin dan khalifah di bumi yang kita cintai ini.

    Tarikh 15 Julai 2018, genaplah 72 tahun usia Baginda Sultan yang mana pelbagai kejayaan, kemajuan dan perkembangan telah dicapai sepanjang 34 tahun negara menyambut hari kemerdekaan. Ini adalah berkat usaha Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang kemudian diteruskan oleh Baginda Sultan sehingga berjaya mengangkat nama negara dikenali dan ‘digalati’ di persada dunia sebagai sebuah negara Islam yang unggul.

    Sebagaimana dalam titah pemasyhuran kemerdekaan negara yang dilafazkan oleh Baginda Sultan pada tengah malam menjelang 1 Januari 1984, diikuti dengan laungan ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar’ oleh paduka ayahanda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, ia jelas membuktikan bahawa Islam merupakan agama rasmi yang menjadi prinsip pegangan kehidupan berbangsa dan bernegara secara menyeluruh.

    “Mulai 1 Januari 1984 Negara Brunei Darusssalam adalah dan dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata’ala akan untuk selama-lamanya menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljama’ah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan kebebasan dan dengan petunjuk serta keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala jua…”

    Sepanjang lebih 50 tahun pemerintahan Baginda, pelbagai usaha telah giat dilaksanakan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir yang berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja dan ‘Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur’.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah beserta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah semasa berkenan berangkat di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439H/2018M, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menyertai perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W Peringkat Negara bagi Tahun 1439 Hijrah di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan untuk bersama-sama memperingati hari kelahiran junjungan besar umat Islam Nabi Muhammad S.A.W. – Gambar oleh Azrol Azmi & Infofoto
    Keutuhan ikatan antara raja dan rakyat jelas terlihat dengan bersama-sama menunaikan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Majlis Kesyukuran bagi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 Tahun 1439H/2018M yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, yang mana ia jelas menggambarkan nilai-nilai keislaman menghiasi bumi Negara Brunei Darussalam. – Gambar oleh Muiz Matdani, Hajah Saemah Kepli & Normazlina M.D
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah terhadap pendidikan agama di negara ini jelas terbukti dengan keberangkatan Baginda Sultan ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. – Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan meninjau lebih dekat pembelajaran yang dikendalikan semasa lawatan ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani dan Sim Y.H.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan hadiah kepada salah seorang peserta yang mengikuti Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara. – Gambar Oleh Muiz Matdani
    Program Satu Minggu Satu Juzuk bertujuan untuk mendukung dan menjunjung tinggi hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menitikberatkan pendidikan agama. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Bersama meraih saham akhirat

    Salah satu usaha Baginda Sultan laksanakan secara berterusan bagi mengukuhkan lagi dakwah Islam di Negara Brunei Darussalam ialah melalui pembinaan institusi masjid, yang mana ia merupakan aspek terpenting, bukan sahaja sebagai tempat beribadat bahkan juga sebagai pusat penyebaran agama Islam serta tempat bagi melaksanakan pelbagai aktiviti berkebajikan bagi umat manusia.

    Oleh itu, Penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid telah diperkenankan oleh Baginda Sultan semasa Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah bersamaan Tahun 2015 Masihi. Ianya adalah salah satu inisiatif bagi menggalakkan rakyat dan penduduk di negara ini mengerjakan amal soleh dan memperoleh ganjaran baik di akhirat kelak.

    “…Salah satu isyarat daripada ajaran Al-Qur’an dan juga daripada hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah membina masjid, iaitu tempat orang-orang Islam beribadat. Amalan membina masjid ini adalah satu ‘amal besar’ yang mendatangkan ganjaran sangat lumayan…”

    Baginda seterusnya menekankan bahawa tabung dana ini akan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala melalui pembinaan masjid. Ianya dilaksanakan secara konsisten sebagai satu peluang keemasan bagi orang-orang Islam untuk bertanam saham di akhirat. Saham itu sifatnya unik sehingga tidak terjangkau oleh akal. Manakala Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:

    “Barangsiapa membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga.”

    Dalam pada itu, Baginda Sultan telah berkenan merasmikan masjid baharu Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri yang dikenali dengan nama Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri pada 23 Jun 2017 lalu.

    Mengutamakan pendidikan agama

    Bagi mengukuhkan lagi syiar Islam, pendidikan agama juga dititikberatkan oleh Baginda Sultan kepada semua rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini. Oleh yang demikian, bagi memastikan dasar pendidikan akademik di negara ini seimbang dangan pendidikan agama. Satu undang-undang khas telah digubal iaitu Perintah Pendidikan Agama Wajib 2012 yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2013, di mana setiap kanak-kanak Islam yang berusia tujuh tahun ke atas sehingga 15 tahun, yang tinggal di negara ini, adalah wajib untuk didaftarkan mengikuti pendidikan sekolah agama di samping sekolah biasa. Sebagaimana titah Baginda Sultan semasa Majlis Sambutan Hari Guru ke-22 bagi tahun 2012 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, yang mana menegaskan bahawa…

    “…Sangat perlu diperhatikan bahawa dalam pendidikan itu terdapat dua unsur, agama dan umum.

    “Orang-orang sering lupa dan malah terlajak mengutamakan yang umum sahaja sehingga tertinggal atau tercicirlah agama. Dalam hubungan ini, Brunei sendiri turut mengalami sindrom ‘lupa’ itu dengan membiarkan dirinya tidak mempunyai sistem persekolahan ‘Wajib Agama’ selama kira-kira 50 tahun, suatu ketelanjuran yang amat dikesalkan,” tegas Baginda Sultan.

    Melalui titah Baginda Sultan itu, seiring dengan berkuatkuasanya undang-undang tersebut, anak-anak di negara ini tidak akan lagi tercicir daripada memahami dan mengetahui ilmu asas pendidikan Islam. Juga tiada lagi alasan bahawa untuk tidak pandai bersembahyang dan membaca Al-Quran.

    Di samping itu, perintah tersebut juga menggariskan tanggungjawab terhadap ibu bapa agar mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah agama pada setiap 1 Januari penggal persekolahan bagi memastikan anak-anak mereka didaftarkan pada tahun itu. Ini kerana jika pihak ibu bapa gagal melaksanakannya, mereka akan dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (2) dan jika didapati bersalah akan menghadapi denda tidak lebih daripada $5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

    Selain itu, Baginda Sultan juga sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah, bukan sahaja dalam pendidikan sekolah konvensional bahkan juga kesejahteraan pelajar-pelajar pendidikan agama dan aliran sekolah-sekolah Arab.

    Sehubungan dengan itu, pada 9 Julai 2018, baru-baru ini, Baginda Sultan telah berkenan mengadakan lawatan ke empat buah institusi pendidikan sekolah Arab di Bandar Seri Begawan iaitu Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) Katok, bagi meninjau kemudahan dan pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah-sekolah berkenaan.

    Memartabatkan ilmu Al-Quran

    Dalam masa yang sama, Baginda Sultan juga menitikberatkan pendidikan ilmu Al-Quran agar ia semakin kukuh menjadi amalan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat di negara ini sama ada dari peringkat kanak-kanak mahupun dewasa.

    Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam memartabatkan Al-Quran antaranya ialah Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan, Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara, Musabaqah Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Peringkat Negara Anggota MABBIM, Program Satu Minggu Satu Juzuk dan sebagainya.

    Menegakkan perundangan Islam

    Di samping itu, antara mercu tanda terpenting kepimpinan Baginda Sultan dalam menegakkan syiar Islam di negara ini ialah pengisytiharan Perintah Kanun Hukum Kanun Jenayah Syariah 2013. Sebagaimana dalam petikan titah Baginda Sultan bersempena Majlis Pengisytiharan Penguatkuasaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 pada hari Rabu, 30 Jamadilakhir 1435 Hijrah bersamaan dengan 30 April 2014 Masihi, bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    “Pada 22 Oktober 2013 yang lalu, Beta telah mengumumkan pewartaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013. Maka pada hari ini, setelah berlangsung enam bulan, Beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta bersyukur, mengisytiharkan bahawa esok, hari Khamis 1 Rejab 1435 Hijrah bersamaan 1 Mei 2014 Masihi adalah tarikh mulanya berkuatkuasa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah 2013, fasa pertama, yang kemudian akan diikuti pula dengan fasa selanjutnya.”

    Keprihatinan Baginda Sultan itu bukan setakat bersangkut-paut pada hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat semata-mata, malahan ianya merangkumi kepada soal hukum-hakam, yang mana membabitkan perkara yang dianggap atau dilihat ‘remeh’ tetapi hakikatnya mempunyai impak yang besar kepada pegangan dan kehidupan beragama seperti penutupan premis-premis perniagaan dan pejabat, pusat-pusat hiburan, rekreasi dan sukan, termasuk pawagam dan padang permainan, gerai atau tamu, pasar dan gedung-gedung perniagaan pada setiap hari Jumaat mulai jam 12 tengah hari hingga jam 2 petang yang mana telah berkuat kuasa pada 2 November 2012. Begitu juga larangan mengimport minuman keras dan tegahan menghidangkannya di tempat-tempat awam, restoran, hotel dan kelab-kelab.

    Dalam usaha memastikan makanan dan produk di negara ini terjamin kehalalannya, Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan) 2017 juga telah dikuatkuasakan pada 26 Mei 2017, yang mana perintah ini telah mewajibkan permohonan sijil halal dan permit halal ke atas pemilik perniagaan yang berkaitan dengan makanan di Negara Brunei Darussalam.

    Antara objektif pindaan tersebut adalah bagi mengukuhkan Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 dan penguatkuasaannya untuk meningkatkan pengawalan kehalalan makanan di premis perniagaan makanan. Semua rahmat dan keberkatan yang diterima ini adalah hasil daripada kepimpinan Baginda Sultan yang berpandukan kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah.

    Oleh itu, ini jelas membuktikan bahawa Baginda Sultan berjaya mengekalkan sistem pemerintahan Islam yang terus berdiri kukuh setanding dengan negara-negara lain di rantau ini dengan menikmati berbagai-bagai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan.

    Kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini hendaklah sentiasa mengekalkan keselesaan, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi dan mendukung hasrat raja kita untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir dan mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda