Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemerintahan penggal kedua Xi cetus kritikan

    BEIJING, 27 Feb – Jentera propaganda China hari ini mempertahankan langkah Parti Komunis untuk menarik balik had penggal bagi Presiden Xi Jinping ketika kritikan berterusan di media sosial yang disekat.

    Parti itu mengejutkan ramai pemerhati dengan mencadangkan pindaan perlembagaan untuk menamatkan had dua penggal bagi presiden, yang memberikan Xi laluan jelas untuk menerajui ekonomi kedua terbesar di dunia itu sepanjang hayat.

    Pihak penapis berebut-rebut menyekat ulasan yang mengkritik di media sosial tetapi para pengguna laman Weibo seperti Twitter terus bersuara hari ini, dua hari selepas pengumuman parti itu.

    “Amat menyedihkan, kita mempunyai 1.3 bilion rakyat, tidak sesiapa pun boleh menentang,” seorang pengguna menulis.

    Seorang lagi menyesali ketiadaan reformasi politik: “Saya pernah percaya bahawa saya boleh melihat seorang presiden dilantik oleh seorang, satu undi sepanjang hayat saya.”

    Orang ramai melintasi poster Presiden China Xi Jinping di seberang jalan di Beijing pada 26 Februari 2018. Jentera propaganda China kelmarin mempertahankan langkah Parti Komunis untuk menarik balik had penggal bagi Presiden Xi Jinping ketika kritikan berterusan di media sosial yang disekat. – AFP

    Pihak penapis menyekat carian bagi perkataan ‘I object’, ‘Proclaimed King’, ‘tenure system’ dan ‘Winnie the Pooh’ – kartun beruang berbadan bulat yang dibanding-bandingkan dengan Xi.

    Xi dijangka mendapat penggal kedua lima tahun apabila Kongres Rakyat Kebangsaan membuka sesi plenari tahunannya semalam.

    Media kerajaan telah menyiarkan editorial baharu yang memuji cadangan pindaan oleh Jawatankuasa Pusat itu, yang dijangka diluluskan ketika sesi perundangan dan akan membolehkan Xi terus berkuasa selepas 2023.

    China Daily, sebuah akhbar berbahasa Inggeris, melaporkan keputusan parti itu ‘adalah perlu bagi keperluan untuk mencemerlangkan parti dan sistem kepimpinan kerajaan.

    Menurut akhbar harian itu, parti tersebut sentiasa mencadangkan pindaan yang ‘telah menyuntik idea-idea dan konsep baharu tentang hala tuju negara dan bagaimana ia boleh mencapai matlamatnya dalam memberi nafas baharu dan memastikan rakyat hidup lebih bahagia.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda