Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Dengan tema ‘Pemerkasaan Ekonomi Wanita Pasca COVID-19’, Forum Wanita dan Ekonomi APEC (WEF) yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini menumpukan kepada langkah-langkah yang diambil oleh ekonomi-ekonomi APEC dalam menangani kesan yang tidak seimbang terhadap kaum wanita berikutan penularan pandemik COVID-19 di rantau APEC.
Ekonomi-ekonomi mengongsikan kejayaan serta cabaran yang dihadapi dalam memastikan kesejahteraan dan pemerkasaan ekonomi di kalangan wanita pada masa kritikal ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi di sini, forum telah dipengerusikan oleh Menteri bagi Wanita New Zealand, Puan Yang Terutama Jan Tinetti dan Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin selaku wakil Negara Brunei Darussalam.
Semasa berucap pada sesi pembukaan forum itu, PYT Jan Tinetti menjelaskan pandemik COVID-19 telah mendesak kebanyakan kaum wanita untuk berhenti bekerja dan ia telah menjejaskan kesejahteraan mereka, sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli APEC untuk bekerjasama dan mengambil langkah-langkah berani dan kolektif bagi mengurangkan risiko COVID-19.
Sementara itu, Dr Hajah May Fa’ezah pula telah mengongsikan usaha-usaha Negara Brunei Darussalam dalam meningkatkan daya ketahanan kaum wanita daripada ketidakpastian pada masa hadapan, termasuk dalam meneruskan peruntukan perkhidmatan kesihatan bagi kaum wanita dan perempuan; dan memberikan sokongan keusahawanan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya bagi perniagaan-perniagaan yang dimiliki oleh golongan wanita.

Jelasnya, antara usaha yang diketengahkan bagi usahawan wanita di negara ini ialah melalui tawaran kursus-kursus perniagaan secara dalam talian, memperkenalkan program reskilling dan upskilling, memberikan khidmat mentorship, kaunseling perniagaan dan menyediakan platform perniagaan digital.
Selain itu, beliau juga menekankan kepentingan dialog yang berterusan antara pihak awam dan swasta dalam mengenal pasti jurang, cabaran dan strategi yang bersesuaian bagi menangani halangan-halangan ke arah pemerkasaan ekonomi wanita dan dalam perlaksanaan inisiatif-inisiatif serantau seperti La Serena Roadmap for Women and Inclusive Growth dan ASEAN Action Agenda on Women’s Economic Empowerment bagi melengkapkan usaha domestik negara ini dalam memajukan agenda pemerkasaan ekonomi wanita.
Dalam pada itu, mantan Perdana Menteri New Zealand dan mantan Pentadbir Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, Helen Clark turut berucap yang menekan-kan keperluan untuk menerapkan lensa jantina dalam memastikan pemulihan pasca COVID-19 dan juga memastikan masyarakat menjadi lebih inklusif dan berdaya tahan.
Semasa forum itu, Pengarah Eksekutif Urus Setia APEC, Tan Sri Datuk Dr Rebecca Sta Maria mengongsikan hasil APEC Women and the Economy Dashboard pada tahun ini yang memberikan gambaran mengenai status kaum wanita di rantau APEC dengan menumpukan kepada 95 garis panduan yang dibahagikan kepada lima perkara utama iaitu akses kepada modal dan asset; akses kepada pasaran; kemahiran, pembangunan kapasiti dan kesihatan; kepimpinan, suara dan agensi; dan inovasi dan teknologi.
Tambahnya, menurut hasil berkenaan, peralihan kepada teknologi digital di masa pandemik ini telah meningkatkan bebanan bagi wanita-wanita yang bekerja dari rumah, yang pada masa yang sama harus menjalankan tugas-tugas domestik serta penjagaan.
Sehubungan itu, forum tersebut juga tidak ketinggalan membincangkan aspek dalam inovasi dan teknologi, yang mana Brunei tampil sebagai satu-satunya ekonomi APEC yang mempunyai lebih ramai lulusan graduan kaum wanita daripada kaum lelaki dalam aliran Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) seperti mana yang telah dilaporkan pada beberapa tahun kebelakangan ini.
Forum tersebut turut mengongsikan kejayaan dan cabaran yang dihadapi dalam memastikan kesejahteraan dan pemerkasaan ekonomi di kalangan wanita ketika berdepan saat-saat krisis kesihatan kini.