Pemikiran keusahawanan pelajar salah satu cara atasi cabaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Sidang Kemuncak Kemahiran dan Pendidikan Antarabangsa (TIESS) diadakan baru-baru ini dan dihadiri oleh Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji Abdul Rahman selaku salah seorang pembentang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, persidangan tahunan yang dianjurkan oleh The Education World Forum, London itu merupakan perhimpunan terbesar menteri-menteri pendidikan dan kemahiran di dunia serta India Didactics Association iaitu merupakan persatuan kebangsaan bukan kerajaan dan perintis sidang kemuncak itu.

Sidang kemuncak itu berlangsung secara maya selama empat hari dengan tema ‘Memelihara Kemapanan, Pendidikan dan Pengajaran – 2022 dan tahun-tahun seterusnya: Mendengar, Menyumbang, Berkolaborasi dan Belajar…Bersama’.

Awang Adna Shatriremie dijemput untuk menyampaikan pembentangan pada hari kedua bersama pembentang-pembentang lain seperti Pengarah Program, Forum Dunia Pendidikan dan Sidang Kemuncak Asia mengenai Pendidikan dan Kemahiran (USA), Gavin Dykes; Mantan Pengarah Agensi Pendidikan Nasional Finland (Finland), Dr Gun Oker-Blom; Pengarah Eksekutif, Quaglia Institute for School Voice and Aspirations (Australia), Dr Russell J Quaglia dan Ketua Pengarah, Jabatan Sains dan Teknologi (Pakistan), Dr Khalid Khan.

Dalam sesi itu, Awang Adna Shatriremie mengongsi penglibatan beliau semasa menjadi pensyarah dan mentor dalam keusahawanan di Universiti Brunei Darussalam sebelum mengetuai EIC di Kementerian Pendidikan.

Awang Adna Shatriremie menghadiri dan menyampaikan pembentangan semasa TIESS yang diadakan pada 27 Januari hingga 30 Januari lalu. – Gambar serahan Kem. Pendidikan

Pada ketika itu, beliau juga sempat bekerjasama dengan pelajar-pelajar lain dan pengusaha-pengusaha di beberapa buah negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Sesi itu juga mengongsi bagaimana pelajar saling berinteraksi antara satu sama lain dalam ekosistem pembelajaran semasa pandemik serta platform komunikasi dalam talian secara meluas yang memanfaatkan pendidikan dan kehidupan mereka.

Awang Adna Shatriremie juga membincangkan mengenai cabaran dalam membina platform kesedaran dan kreativiti dalam melibatkan pelajar untuk berinteraksi dalam talian sambil memenuhi objektif akademik mereka.

Beliau juga menyatakan bahawa menetapkan penanda aras melalui metodologi menarik adalah penting tetapi ia merupakan tanggungjawab pendidik untuk membentuk apa yang akan dicapai oleh pelajar dari segi kerangka, perbincangan, objektif dan sebagainya yang dijalankan dalam talian. Ini adalah menarik kerana apabila suara pelajar ‘dibentuk secara dalaman’, kreativiti dan inovasi akan dapat dihasilkan secara semula jadi.

Beliau mengakhiri pembentangan dengan menekankan bahawa kepercayaan dan penghormatan para pelajar di Negara Brunei Darussalam dan di negara-negara lain terhadap para guru juga menggambarkan keindahan budaya negara tersebut.

Ini dapat dicapai dengan mengetengahkan kepentingan mendengar apa yang disampaikan oleh para pelajar dan mesej yang mereka bawa kerana budaya mendengar akan membentuk budaya yang saling memahami.