BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Sebuah perusahaan bengkel kenderaan yang terletak di Kampung Lambak, Mukim Berakas telah diarahkan untuk menghentikan aktivitinya kerana melanggar Bab 23(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, penggal 248 (TCPA) iaitu menjalankan kegiatan perusahaan tanpa Kebenaran Perancangan.
Menurut kenyataan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), hari ini, kegiatan itu dijalankan di atas tanah kediaman yang tidak sesuai untuk tujuan perusahaan bengkel kenderaan.
Kegiatan tersebut didapati telah dijalankan secara tidak teratur dan boleh membahayakan kawasan sekitarnya.
Kegiatan berkenaan tidak pernah dipohonkan kepada Autoriti Perancang.
Pemilik tanah tersebut telah mematuhi perintah Autoriti Perancang dengan menghentikan kegiatan bengkel berkenaan, membersihkan dan memulihkan penggunaan tanah tersebut kepada asal.
Pemilik juga telah memindahkan kegiatan tersebut di kawasan industri yang berdekatan dengan kawasan tersebut.
Pemajuan dan perubahan penggunaan tanpa Kebenaran Perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai.
Oleh itu, orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Seksyen 23 TCPA yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam sebuah kawasan pemuliharaan tanpa Kebenaran Perancangan.
Kesalahan ini boleh dihukum dengan denda maksimum $200,000 dan denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabit kesalahan.
Sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi talian hotline JPBD di 8200 222 atau melalui emel di tcp.aduan@tcp.gov.bn.



