KUALA BERANG, 1 JAN – Bermula hari ini, pemilik haiwan ternakan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya haiwan ternakan mereka dibiarkan berkeliaran dan menyebabkan kemalangan di lebuh raya di kawasan Hulu Terengganu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata langkah itu diambil berikutan berlaku peningkatan kes kemalangan di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) melibatkan haiwan ternakan sepanjang 2019 iaitu sebanyak 64 kes, berbanding hanya 38 kes pada 2018.
“Kami akan kenal pasti pemilik haiwan ternakan melalui nombor siri pendaftaran daripada Jabatan Veterinar manakala bagi haiwan yang tidak mempunyai nombor siri pendaftaran kami akan kenal pasti melalui risikan pihak polis,” katanya selepas operasi bersepadu tangkapan haiwan ternakan berkeliaran di LPT2. Katanya, mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian dalam menguruskan haiwan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama