LONDON, 31 DIS – Kumpulan pelaburan Amerika Syarikat (AS), ALK Capital telah melengkapkan pembelian kelab Burnley, mengawal 84 peratus saham kelab Liga Perdana Inggeris itu, berita tersebut diumumkan hari ini.
Syarikat ALK yang berpangkalan di Delaware, merupakan pakar dalam pelaburan sektor sukan dan media, berkata rakan pengurus mereka, Alan Pace akan mengambil alih jawatan Mike Garlick sebagai pengerusi. Pace, bekas presiden Liga Utama Bola sepak (MLS) Real Salt Lake, berkata langkah tersebut ‘menandakan bermulanya pengembaraan yang mengujakan untuk seluruh keluarga Clarets’.
“Kelab yang kaya dengan sejarah, akademi yang memuaskan dan peminat yang bersemangat, mempunyai asas yang kukuh untuk terus dibina,” katanya dalam kenyataan dalam laman web rasmi kelab. Garlick, yang memegang kurang dari 50 peratus saham kelab, akan kekal menjadi ahli lembaga pengurusan Burnley di bawah ALK Capital. – AFP