PARIS, 12 MAC – Pertubuhan Perancis yang mewakili penerbit dan pengarang mengumumkan hari ini mereka akan memulakan tindakan undang-undang terhadap pemilik Facebook, Meta, selepas buku-buku mereka digunakan untuk melatih aplikasi AI generatif.
Tiga kumpulan tersebut SNE (persatuan penerbit), SGDL (kumpulan pengarang dan komposer) dan SNAC mengadu dalam satu kenyataan mengenai ‘penggunaan besar-besaran karya dilindungi hak cipta tanpa kebenaran daripada pe-ngarang dan penerbit mereka’ oleh syarikat Amerika itu.
“Kami telah mengesahkan kewujudan banyak karya yang diterbitkan oleh ahli-ahli SNE dalam data yang digunakan oleh Meta,” kata Ketua SNE, Vincent Montagne, dalam kenyataan tersebut.
Meta mengakui menggunakan satu pangkalan data, Books3, yang mengandungi teks lengkap sekitar 200,000 buku, termasuk beberapa karya dalam bahasa Perancis, untuk melatih model bahasa besar Llama.
Dalam kes berasingan di mahkamah Amerika yang dimulakan oleh pengarang, syarikat itu mengakui pada tahun lalu telah menggunakan pangkalan data tersebut sehingga 2023, dengan alasan bahawa latihan AI itu merupakan ‘penggunaan adil’ terhadap buku-buku yang dilindungi hak cipta.
Penerbit dan pengarang Perancis tidak secara terbuka menyatakan anggaran nilai kerugian yang dihadapi mereka akibat tindakan Meta. – AFP
