BANGKOK, 9 NOV – Syarikat media Thailand yang memiliki jenama pertandingan ratu cantik Miss Universe berkata hari ini ia telah memfailkan kebankrapan, sementara ia cuba menyelesaikan ‘masalah kecairan kewangan.’
JKN Global Group membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Thailand dua bulan selepas gagal memenuhi tarikh akhir untuk membayar semula bon bernilai kira-kira AS$12 juta.
Syarikat itu, yang dimiliki oleh usahawan media dan pejuang hak asasi, Anne Jakapong Jakrajutatip, membeli pertandingan itu – sebelum ini dimiliki oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – pada 2022 dengan harga AS$20 juta.
Kenyataan JKN menyatakan bahawa pihak pengarah telah bersetuju pada Selasa lalu untuk mengemukakan rancangan pemulihan perniagaan kepada mahkamah muflis kerajaan itu.
“Dengan mengemukakan petisyen pemulihan, ia akan menyelesaikan masalah kecairan kewangan syarikat dengan menggunakan mekanisme undang-undang yang sah dan memberikan perlindungan yang adil kepada semua pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu.
Operasi akan diteruskan di bawah pelan itu, tambahnya. Harga saham JKN telah merosot hampir 80 peratus sejak 12 bulan lalu, berada pada 0.77 baht hari ini. – AFP
