Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seorang pemilik restoran didenda $500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen rampaian pada 2013.
Hajah Rohani binti Haji Kipli didakwa menjalankan restorannya tanpa lesen yang sah di bawah Akta Lesen Rampaian.
Kertas pertuduhan menyebut, pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Lembaga Bandaran terhadap restoran itu pada 17 April, 5 Jun, 25 September, 23 Oktober, 4 Disember 2013 dan 2 September 2014 mendapati defendan secara berterusan masih lagi menjalankan perniagaannya tanpa lesen yang sah.
Adalah menjadi kesalahan ketika itu, bagi pemilik perniagaan menjalankan perniagaan mereka tanpa memohon lesen rampaian berbanding pada masa ini, yang lebih memudahkan di mana perniagaan boleh mula beroperasi selepas memohon pendaftaran perniagaan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali.