Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemilik syarikat ubat batuk ditahan berhubung kematian 21 kanak-kanak

    CHENNAI, 9 OKT – Polis India telah menahan pemilik sebuah syarikat farmaseutikal selepas sirap ubat batuk yang dibuat di kilangnya dikaitkan dengan kematian kiar-kira 21 kanak-kanak, kata pegawai hari ini.

    Kebanyakan kanak-kanak itu, semuanya berumur bawah lima tahun, meninggal dunia di negeri Madhya Pradesh sejak sebulan lalu selepas mereka diberi sirap itu, dicemari dengan toksin yang boleh membawa maut.

    Ubat yang dikeluarkan di India itu telah menarik perhatian global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kematian dikaitkan dengan penggunaannya dilaporkan di beberapa negara, sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai pengeluar ubat dan farmaseutikal ketiga terbesar berdasarkan jumlah.

    G. Ranganathan, 75, ditahan hari ini di rumahnya di Chennai oleh polis dari Madhya Pradesh.

    Dia dituduh atas kesalahan membunuh dan pencemaran ubat, menurut sumber polis kepada AFP dan media India.

    Gambar Envato

    Ubat batuk, yang dijual di bawah jenama Coldrif, dikeluarkan oleh Sresan Pharma di sebuah unit di negeri selatan Tamil Nadu.

    Kementerian kesihatan India berkata Sabtu lalu ujian ke atas sampel menunjukkan ia tercemar dengan dietilen glikol (DEG), bahan toksik yang digunakan dalam pelarut industri yang boleh membawa maut walaupun ditelan dalam jumlah yang kecil.

    Madhya Pradesh dan beberapa negeri lain telah mengharamkan produk tersebut.

    Laporan media India berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah meminta penjelasan daripada pegawai India sama ada ubat batuk tercemar itu telah dieksport ke negara lain.

    Lebih 70 kanak-kanak meninggal dunia di Gambia akibat kegagalan buah pinggang selepas mengambil ubat batuk yang diimport dari India pada 2022.

    Di Uzbekistan, 68 kanak-kanak meninggal dunia antara 2022 dan 2023 selepas mengambil satu lagi ubat batuk tercemar yang dihasilkan di India. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda