KANDAHAR, AFGHANISTAN, 1 MEI – Pemimpin agung Afghanistan muncul di khalayak umum buat kali kedua dalam tempoh enam tahun hari ini, dan memaklumkan Taliban sudah mencapai kebebasan dan keselamatan sejak merampas kuasa tahun lalu.
Beliau yang dikenali sebagai Hibatullah Akhundzada, ketua Taliban, berucap hanya beberapa hari selepas insiden letupan bom di sebuah masjid di Kabul, dilihat dikawal ketat pasukan keselamatan.
“Tahniah atas kemenangan, kebebasan dan kejayaan. Tahniah atas keselamatan dan sistem Islam,” katanya kepada ribuan umat Islam di masjid Eidgah di bandar Kandahar, yang juga pusat pemerintahan kumpulan Islam itu.
Meskipun jumlah insiden pengeboman sudah berkurangan sejak Kabul dirampas Taliban pada Ogos tahun lalu, jumlah serangan meningkat sejak dua minggu terakhir Ramadan, yang berakhir semalam bagi penduduk Afghanistan.
Puluhan orang awam terbunuh dalam serangan itu, dengan ada antaranya disahkan dilaksanakan oleh IS, yang menyasarkan komuniti Syiah dan Sufi.
Insiden letupan Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P11-B_02052022.jpg)