SINGAPURA, 19 JUN – Seorang pemimpin agama Singapura dipenjarakan selama 10 tahun hari ini kerana menipu pengikutnya berjuta-juta dolar dan menggunakan hukuman berat untuk mendisiplinkan mereka yang tidak mematuhinya, lapor media tempatan.
Menurut channel newsAsia (CNA) yang berpangkalan di Singapura, kes jenayah Woo May Hoe yang dijatuhi hukuman penjara itu adalah jarang berlaku di hab kewangan yang kaya itu.
Woo telah meyakinkan kira-kira 30 pengikut untuk mempercayainya dan menipu mereka lebih daripada $10 juta selama beberapa tahun, menurut dokumen mahkamah.
Woo telah memberitahu pengikutnya bahawa bayaran mereka akan digunakan untuk menghapuskan karma buruk mereka.
Mereka diberitahu dana itu dihantar kepada seorang tokoh agama di India bernama Sri Sakthi Narayani Amma bertujuan untuk membiayai pembinaan kuil baharu, kata dokumen mahkamah.
Dia menghukum pengikutnya jika mereka menderhaka dengan cara merotan, memaksa makan najis atau mencabut gigi mereka dengan menggunakan playar.
Pegawai kesihatan mendapati bahawa dia mengalami skizofrenia paranoid semasa melakukan kesalahan tersebut tetapi kemudiannya telah menyedari perbuatannya yang salah itu, menurut CNA.
“Tindakan tertuduh telah menghancurkan sepenuhnya kehidupan pengikutnya, menjejaskan kewangan dan menyebabkan sesetengah daripada mereka kehilangan daya fizikal,” kata pendakwa raya semasa berhujah di mahkamah. – AFP