Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Lambak Kiri, Mukim Berakas A, telah diadakan hari ini di Dewan Sekolah Menengah Lambak Kiri.
Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, dalam ucapannya menegaskan bahawa ketua dan pemimpin masyarakat di peringkat kampung memainkan peranan penting dalam memimpin perpaduan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan hidup bersama dalam masyarakat kampung.
Mereka juga menjadi penggerak bagi pembaharuan, pembangunan, dan perkembangan sosioekonomi penduduk kampung.
Beliau juga menyampaikan pentingnya peranan yang harus diemban oleh ketua kampung, iaitu menjadi contoh teladan bagi masyarakat kampung dan menjadi perantara antara kerajaan dan penduduk kampung.
Majlis tersebut melibatkan calon tunggal, Awangku Amirnur Aminuddin bin Pengiran Haji Mohd Salleh, 37, yang mendapatkan 147 undi dalam majlis pengundian.
Awang Misle menjelaskan bahawa jawatan Ketua Kampung Lambak Kiri merupakan salah satu jawatan ketua kampung baharu yang ditubuhkan dan diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Ini adalah untuk memudahkan ketua kampung dalam mengurus dan melaksanakan pentadbiran hal ehwal penduduk kampungnya,” jelasnya.
Sebelum ini, penduduk kampung berkenaan berada di bawah pentadbiran Ketua Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri dan kawasan sekitarnya.
Keputusan pengundian akan dikemukakan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk proses seterusnya.