Wednesday, March 5, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemimpin Arab bincang pelan alternatif Gaza

    KAHERAH, 4 MAC – Pemimpin Arab berhimpun di Kaherah hari ini bagi membincangkan pelan alternatif terhadap cadangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mahu mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin dari wilayah itu.

    Sidang kemuncak Liga Arab mengenai pembangunan semula Gaza itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekali lagi menyokong cadangan Trump, menyifatkannya sebagai ‘berwawasan dan inovatif’.

    Bagaimanapun, cadangan Trump telah ditolak keras oleh Palestin serta negara Arab, malah turut mendapat kecaman daripada beberapa sekutu Israel dan AS, yang menolak sebarang usaha untuk mengusir penduduk Gaza.

    Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kos pembangunan semula Gaza berjumlah lebih AS$53 bilion, susulan perang yang meletus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

    Menteri-menteri luar Arab telah mengadakan sesi tertutup di Kaherah kelmarin bagi membincangkan rancangan membangunkan Gaza tanpa menjejaskan kedudukan penduduknya, menurut sumber Liga Arab yang enggan dikenali.

    “Pelan ini akan dibentangkan kepada pemimpin Arab pada sidang kemuncak hari ini untuk diluluskan,” kata sumber itu kepada AFP.

    Sidang itu dihadiri beberapa ketua negara Arab, manakala sesetengah negara diwakili menteri luar atau pegawai kanan lain. Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Bahrain, Hamad bin Issa Al Khalifa, dijadualkan menyampaikan ucapan pembukaan.

    Trump mencetuskan kecaman global apabila mencadangkan AS ‘mengambil alih’ Gaza dan menjadikannya sebagai ‘Riviera Timur Tengah’, serta memindahkan penduduk Palestin ke Mesir dan Jordan. – AFP

    Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty (kanan) bertemu dengan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif bin Rashid al-Zayi di Istana Tahrir di Kaherah pada malam sebelum sidang kemuncak Liga Arab. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda